PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) diminta untuk meneliti dan menyebarkan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berdukacita dengan budaya perdebatan yang semakin berbentuk pertelagahan tanpa adab dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sultan Nazrin mengingatkan betapa prinsip dan budaya syura perlu menjadi suluh dan adab untuk menjadi kemudi dalam mengurus perbezaan pandangan.
“Ketika pendapat bersilang dan suara meninggi, kejernihan pertimbangan serta kesantunan budi mesti teguh memimpin peribadi dan perwatakan diri.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Saya telah meminta pihak Jakim untuk menghadam dan menyebar luas titah tuanku ini untuk dihayati oleh segenap peringkat masyarakat.
“Titah ini ialah nasihat berharga buat kami semua dalam pimpinan kerajaan, parti-parti politik, badan dakwah dan masyarakat seluruhnya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Hari ini, Sultan Perak berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-75 di Jakim, Putrajaya.
Perdana Menteri berkata, perbezaan pandangan perlu disantuni dengan berhikmah bagi mengelakkan perpecahan masyarakat yang boleh menggugat perpaduan negara.
“Amanahnya perlu hidup dalam tutur dan tindakan, bermusyawarah dengan lapang dada, menegur dengan hikmah serta mendengar dengan rendah hati.
“Tidak berhujah sambil merobek tenunan ukhuwah dan tidak berbeza jalan hingga meruntuhkan jambatan persaudaraan,” katanya. – UTUSAN




