Kuala Lumpur: Budaya populariti dalam industri hiburan tempatan kini dilihat lebih banyak dipacu kontroversi dan kisah peribadi selebriti berbanding kualiti karya.
Penyanyi, Ariff Bahran, 28, berkata perkembangan itu menyebabkan kehidupan peribadi seseorang selebriti turut dijadikan bahan berita hingga perkara seperti perceraian, hubungan cinta dan konflik peribadi lebih mudah mendapat perhatian.
Bagaimanapun, Ariff atau nama lengkapnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari menegaskan, dia tidak berminat menggunakan pendekatan berkenaan untuk mengembalikan namanya dalam industri muzik.
“Saya tidak begitu kisah apa yang berlaku dalam industri muzik kerana saya tahu kebanyakannya untuk menjadi relevan di Malaysia ini adalah dengan mencipta drama atau apa sahaja kontroversi untuk menaikkan nama.
“Kalau ada drama, perceraian, hubungan atau perkara peribadi, seseorang itu akan menjadi perhatian. Tetapi kalau hanya ada muzik berkualiti atau kemahiran lakonan yang baik, itu sahaja tidak cukup.
“Sebab orang mahukan drama dan hiburan. Hiburan sebenar pula berkait dengan perkara peribadi.
“Jadi, saya tidak bimbang dengan perkara ini kerana sudah berlarutan entah berapa lama. Saya juga tidak merancang untuk pergi ke arah drama itu,” katanya kepada BH Online.
Mengulas pandangan bahawa seseorang penyanyi memerlukan masa yang tepat untuk kembali mendapat tempat dalam industri, Ariff tidak menafikan perkara itu, namun berpendapat faktor pemasaran dan kualiti karya juga penting.
“Ya, memang betul. Bukanlah semua artis memerlukan drama untuk naik. Ada sahaja artis yang naik disebabkan bakat mereka, tetapi majoriti yang naik disebabkan drama atau perkara peribadi.
“Kalau bercakap mengenai kualiti, memang perlukan waktu yang tepat, pemasaran yang betul dan baik serta muzik berkualiti.
“Atau apa sahaja kemahiran yang ada untuk menaikkan nama dalam industri seni ini. Mereka juga perlu benar-benar bagus (dalam nyanyian),” katanya.
Terdahulu, Ariff menerusi hantaran di Threads mempersoalkan sama ada kerjaya sebagai penyanyi masih relevan di Malaysia.
Mengulas hantaran berkenaan, Ariff berkata, ia tidak mempunyai maksud tersirat, sebaliknya sekadar persoalan umum selepas melihat perkembangan rakan-rakan seangkatannya dalam industri muzik.
Ditanya sama ada mempunyai hasrat untuk kembali aktif dalam bidang seni, Ariff mengakui sudah beberapa kali mencuba untuk menghidupkan semula kerjaya nyanyiannya, namun belum berjaya meraih semula perhatian peminat.
“Saya sudah cuba sebanyak empat atau lima kali juga tetapi saya gagal, masih belum dapat tempat dalam hati peminat.
“Tetapi dalam masa sama, apabila saya berkarya, saya akan berkarya dari hati. Saya tidak menetapkan sasaran lagu itu mesti naik.
“Kalau naik, Alhamdulillah, itu rezeki. Kalau tidak, tidak mengapa, saya boleh cuba lagu lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
