suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Struktur dalaman sebuah premis yang disyaki menjalankan kegiatan perlombongan mata wang kripto (Bitcoin) di Taman Prima Impian, Segambut, di sini, dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
Tindakan itu dilaksanakan selepas pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di premis berkenaan menerusi operasi bersepadu, semalam.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, tindakan merobohkan struktur dalaman (wall partition) itu dilaksanakan mengikut Seksyen 79(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Turut terbabit dalam operasi ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“DBKL akan meneruskan operasi bersepadu dan pemantauan dari masa ke semasa,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, DBKL memaklumkan orang awam boleh menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd
