Mahkamah Syria hukum mati adik Bashar Al-Assad, 7 bekas pegawai keselamatan

Istanbul: Mahkamah di Damsyik pada Selasa menjatuhkan hukuman mati terhadap Maher al-Assad, adik kepada bekas Presiden Syria Bashar al-Assad, serta tujuh bekas pegawai keselamatan, termasuk bekas ketua keselamatan wilayah Daraa, Atef Najib.

Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita SANA melaporkan Hakim Al-Aryan dari Mahkamah Jenayah Keempat berkata Maher, yang kini menjadi buruan, disabitkan atas kesalahan membunuh dengan niat serta penyeksaan sehingga menyebabkan kematian.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati terhadap Najib, sepupu Bashar al-Assad, atas pertuduhan membunuh, melakukan penyeksaan dan menghasut pembunuhan.

Mahkamah berkata Najib, bekas Ketua Cawangan Keselamatan Politik di Daraa, terlibat dalam soal siasat terhadap tahanan selepas tercetusnya protes di wilayah barat daya itu, selain mengetuai operasi keselamatan terhadap orang awam di kawasan berkenaan.

“Perbuatan yang dikaitkan dengan Atef Najib, berdasarkan hasil siasatan dan keterangan saksi, merupakan jenayah terhadap kemanusiaan,” kata hakim itu.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati tanpa kehadiran terhadap enam individu lain dalam perbicaraan yang sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top