kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerugian hampir RM13 bilion yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan Tabung Haji sebelum 2018 akhirnya ditanggung bersama kerajaan, pembayar cukai dan 9.7 juta pendeposit.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu merangkumi kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018, selain rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung Tabung Haji sendiri.
Katanya, beban kerugian yang dipindahkan kepada kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan pembayar cukai, manakala kerugian yang ditanggung Tabung Haji pula memberi kesan kepada pendeposit menerusi kadar agihan yang lebih rendah.
“Salah urus Tabung Haji ditanggung semua, beban kerugian yang dipindah ke kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung Tabung Haji akhirnya menjejas pendeposit di Tabung Haji.
“Kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan,” katanya ketika menggulung perbahasan khas di Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020, hari ini.
Sebelum ini, kadar agihan kepada pendeposit susut kepada hanya 1.25 peratus pada 2018 dan sekitar tiga peratus sepanjang tempoh pemulihan, sekali gus menunjukkan kesan langsung daripada kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Sementara itu, membentangkan penerangan kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, amanah Tabung Haji membabitkan wang simpanan rakyat daripada pelbagai latar belakang yang disimpan bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
“Apabila amanah sebesar ini tergugat, kita tidak boleh berselindung di sebalik angka.
“Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerima kebenaran, memperbetulkan kelemahan dan memastikan sejarah yang sama tidak akan berulang,” katanya.
Menurut kerajaan, RCI mendapati terdapat 14 pelaburan bermasalah serta proses kelulusan yang mencurigakan, termasuk dakwaan penyembunyian maklumat dan manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.
Daripada jumlah itu, tujuh pelaburan dilaporkan mengalami kerugian 100 peratus daripada nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda membabitkan RM1.8 bilion, Putrajaya Perdana (RM193 juta) dan Trurich Resources (RM364 juta).
Sebanyak lima kertas siasatan sudah dibuka, manakala tuntutan sivil turut dikejar di dalam dan luar negara, termasuk siasatan terhadap bekas pengerusi serta pengurusan tertinggi berkaitan isu kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.
Selain itu, Amir Hamzah berkata kerajaan tidak akan campur tangan atau melindungi mana-mana pihak, manakala keputusan berhubung pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.
Dalam masa sama, kerajaan komited memastikan kelemahan tadbir urus yang membawa kepada krisis itu tidak berulang, termasuk meneruskan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Katanya, antara cadangan utama ialah memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap aktiviti pelaburan Tabung Haji.
Sementara itu, kedudukan kewangan Tabung Haji kini menunjukkan pemulihan ketara apabila jumlah aset meningkat kepada RM98.58 bilion, melebihi liabiliti RM95.63 bilion setakat 31 Disember 2025.
Dana simpanan pendeposit turut meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025.
Kadar agihan pula meningkat secara berperingkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, membabitkan jumlah agihan RM3.22 bilion.
Kerajaan turut memberi jaminan bahawa keseluruhan simpanan setiap pendeposit Tabung Haji adalah selamat dan dijamin kerajaan mengikut Seksyen 24 Akta 535.
Jaminan itu, menurut kerajaan sudah wujud sejak Tabung Haji ditubuhkan dan kekal sehingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
