am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menaikkan kadar pendaftaran haji kepada kadar lebih munasabah antara baki enam syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) yang sedang dilaksanakan lembaga itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, selain itu, TH juga sedang meneliti mengenai beberapa perkara lain berkaitan urusan haji, iaitu dasar deposit, bayaran haji dan bantuan kewangan haji (HAFIS).
“Baki enam syor yang sedang dalam pelaksanaan termasuk pindaan Akta 535 bagi mengukuhkan tadbir urus, menaikkan kadar pendaftaran haji kepada kadar yang lebih munasabah dan menguatkan kawal selia ke atas TH.
“Selain itu, TH juga sedang memperkemaskan proses tatatertib, syor berkenaan dasar deposit, bayaran haji dan bantuan kewangan haji (HAFIS) dan cadangan kawal selia di bawah Suruhanjaya Sekuriti,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Khas RCI TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, 75 peratus daripada 25 syor RCI sudah dilaksanakan, manakala bakinya sedang dalam proses pelaksanaan mengikut bidang kuasa dan garis masa yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan TH memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi dakwaan salah laku seperti suapan, salah guna kuasa dan pelanggaran tadbir urus.
“Setakat hari ini, kita sudah melihat tindakan serta merta pihak berkuasa, iaitu menerusi pasukan khas yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejurus selepas laporan RCI didedahkan.
“Siasatan juga sudah dimulakan yang seterusnya membawa kepada tindakan penguatkuasaan, termasuk penahanan beberapa individu terkait dengan dakwaan salah laku seperti suapan, salah guna kuasa serta pelanggaran tadbir urus,” katanya.
Laporan RCI mengenai TH mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan TH setakat 30 Julai lalu.
Antara dapatan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

