21 Ogos bukan cuti umum Melaka

am@hmetro.com.my

Melaka: Tarikh 21 Ogos tidak diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Negeri Melaka dan tiada ketetapan cuti peristiwa bagi tarikh berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh, berkata penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan orang ramai berhubung status 21 Ogos ini bersamaan Jumaat yang dikaitkan dengan sambutan atau pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata berdasarkan Jadual Hari Kelepasan Am Negeri Melaka 2026, tarikh berkenaan tidak disenaraikan sebagai cuti umum negeri.

“Sehubungan itu, urusan pekerjaan, perkhidmatan awam, persekolahan serta aktiviti harian pada Jumaat, 21 Ogos adalah mengikut jadual dan ketetapan sedia ada, tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa, majikan dan institusi masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salhah berkata penjelasan itu dikemukakan bagi memberikan maklumat yang jelas dan tepat kepada orang ramai, sekali gus membantu masyarakat merancang urusan masing-masing dengan sebaiknya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri terus komited memelihara, memartabatkan dan mempromosikan khazanah sejarah, budaya serta warisan negeri yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri ini atas perhatian, sokongan dan kecintaan terhadap khazanah warisan negeri yang menjadi kebanggaan bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top