mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan 12 individu terbabit dalam kes samun berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis membabitkan seorang YouTuber warga Taiwan di sebuah apartmen di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada 1 Ogos lalu daripada seorang lelaki warga Jepun berusia 43 tahun yang memaklumkan majikannya, seorang YouTuber warga Taiwan berumur 38 dipukul dan disamun dalam kejadian itu.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan dan kerugian dianggarkan lebih RM35,000.
“Siasatan mendapati motif kejadian dipercayai kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan wang tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi, sekali gus menjadi pencetus kepada jenayah berkenaan.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur melancarkan operasi khas dan berjaya menahan 12 individu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun.
“Daripada 12 suspek yang ditahan, tujuh dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Ogos lalu selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi direman sehingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.
Katanya, polis kini mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
