KUALA LUMPUR: Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disusuli siasatan penuh agensi penguatkuasaan secara telus, bebas dan profesional.
Datuk Armizan Mohd. Ali (GRS-Papar) berkata, isu pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020 sekian lama menjadi pertikaian serta medan tuduh-menuduh sehingga dakwaan ‘fitnah’ digunakan secara meluas oleh pelbagai pihak.
Katanya, keadaan itu menyukarkan orang ramai menentukan siapa sebenarnya menjadi mangsa fitnah dan siapa pula yang memfitnah sehingga sebahagian besar rakyat semakin keliru.
Tegasnya, pertikaian berpanjangan itu juga seolah-olah menenggelamkan dua isu lebih utama, iaitu keperluan menyelamatkan TH yang mengurus tabungan 9.7 juta pendeposit termasuk 597,983 dari Sabah serta penggunaan dana awam bagi tujuan berkenaan.
“Sungguhpun tindakan itu (guna dana awam) adalah satu keperluan, namun implikasi beban tanggungan itu perlu diurus dan akan diwarisi untuk tempoh yang panjang.
“Hakikatnya beban ini telah menutup ruang fiskal tambahan diperlukan antaranya untuk membina lebih banyak keperluan infrastruktur dan menyediakan bantuan tambahan sara hidup rakyat,” katanya di Dewan Rakyat.
Armizan berkata, tindakan selanjutnya seperti siasatan di peringkat agensi penguatkuasaan perlu dilakukan terutama ketika wujud perbahasan dan kesimpulan di luar.
“Asasnya, sebarang siasatan perlu dilaksanakan dengan telus, bebas dan penuh profesionalisme untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua dan tidak ada mana-mana pihak teraniaya.
“Paling penting hak dan keadilan untuk sekalian rakyat dan pendeposit Tabung Haji dapat ditegakkan,” katanya.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pendedahan RCI TH menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti laporan audit yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan meletakkan parameter jelas terhadap tanggungjawab dan mandat Ketua Audit Negara.
“Sebagai anggota pentadbiran, dalam meneliti setiap laporan tahunan agensi dan badan berkanun kerajaan yang dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sandaran utama saya adalah kepada setiap ulasan Ketua Audit Negara.
“Namun, laporan RCI Tabung Haji ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan kepada tahap integriti laporan audit yang dipersembahkan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Menurut Armizan, pihaknya memohon kerajaan menjelaskan pendirian berhubung isu audit yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan.
Katanya, penjelasan itu penting bagi meyakinkan rakyat bahawa tahap integriti laporan Ketua Audit Negara, termasuk pada masa kini, tetap boleh diyakini sejajar dengan amanah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mohon dijelaskan apakah pendirian kerajaan berhubung isu audit yang dibangkitkan dalam RCI.
“Sekali gus, bagaimana kerajaan dapat meyakinkan bahawa tahap integriti laporan Ketua Audit Negara termasuk pada masa kini tetap boleh diyakini,” katanya.
Armizan turut mengalu-alukan usaha Jabatan Audit Negara memperkenalkan Auditor General Dashboard (AGD).
Katanya, inisiatif itu memberikan akses kepada dapatan dan tindakan susulan audit yang dilakukan. – UTUSAN
