New Delhi: Kapten pesawat Air India yang menjunam secara tiba-tiba kira-kira 90 meter (m) dalam satu penerbangan minggu lalu disahkan positif ganja selepas ujian saringan dadah kali kedua, menurut sumber yang mengetahui perkara itu, lapor Bloomberg.
Pada 9 Ogos lalu, Kerajaan India memaklumkan bahawa juruterbang yang mengendalikan penerbangan AI2379 dari Phuket ke New Delhi akan menjalani ujian saringan dadah pusingan kedua bagi mengesahkan sama ada beliau berada di bawah pengaruh bahan psikoaktif ketika pesawat itu hilang ketinggian secara mendadak.
Insiden yang berlaku pada 4 Ogos itu kini disiasat oleh Lembaga Siasatan Kemalangan Pesawat India dan mengakibatkan beberapa penumpang serta anak kapal cedera. Pesawat Airbus SE A320 berkenaan membawa 137 penumpang dan lapan anak kapal.
Saringan bahan psikoaktif adalah prosedur standard dalam siasatan kemalangan atau insiden penerbangan yang serius. Keputusan awal yang menunjukkan keputusan bukan negatif memerlukan ujian pengesahan lanjut.
Dalam kes ini, ujian pengesahan kedua turut didapati positif, kata sumber yang enggan dikenali kerana keputusan ujian berkenaan adalah sulit.
Jurucakap Air India bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai keputusan ujian dadah juruterbang terbabit.
Keselamatan penerbangan kini menjadi tumpuan utama industri penerbangan India yang berkembang pesat susulan nahas maut pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Air India pada 2025 selain beberapa siri insiden berkaitan keselamatan yang berlaku selepas itu.
Insiden itu menambah tekanan terhadap syarikat penerbangan milik Tata Group yang masih bergelut dengan kerugian berjumlah 220 bilion rupee (kira-kira RM11.8 bilion) bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac lalu. Situasi itu turut menggambarkan cabaran besar yang bakal dihadapi Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Tewolde Gebremariam.
Mengikut peraturan yang ditetapkan pengawal selia penerbangan India, pekerja yang didapati positif dalam ujian saringan dadah buat kali pertama akan dirujuk ke program pemulihan atau rawatan ketagihan.
Bagi membolehkan mereka menjalankan tugas yang berkaitan dengan keselamatan penerbangan, individu terbabit perlu menjalani ujian semula dan disahkan bebas daripada bahan terlarang.
Bagaimanapun, keputusan positif bagi kali kedua akan menyebabkan lesen digantung selama tiga tahun, manakala keputusan positif kali ketiga akan membawa kepada pembatalan lesen secara kekal.
© New Straits Times Press (M) Bhd
