nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyertaan kontinjen Malaysia disertai 92 murid dan pelajar dalam pertandingan Robot Challenge World Championship di Bejing, China pada 8 dan 9 Ogos lalu berjaya meraih lima pingat.
Pengarah Projek World of Robotic Sdn Bhd, Michelle Choo, 43, berkata, kontinjen itu bertanding sembilan kategori dalam pertandingan berkenaan.
“Kontinjen ini meraih dua pingat emas dalam kategori Robowling-Senior dan Puck Collect-Junior. Satu pingat perak diraih dalam kategori Puck Collect-Junior.
“Dua pingat gangsa diraih dalam kategori Puck Collect-Junior dan kategori ‘Freestyle’ yang membabitkan inovasi,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Bangsar, di sini, hari ini.
Michelle berkata, 92 murid dan pelajar berusia antara sembilan hingga 18 tahun itu dipilih menerusi penyertaan mereka dalam pertandingan World of Robotic Championship pada November tahun lalu.
“Pertandingan itu yang diadakan sejak 2016 adalah platform untuk memilih murid dan pelajar bagi menyertai Robot Challenge World Championship.
“Ini adalah penyertaan kali ketiga kontinjen Malaysia dalam Robot Challenge World Championship dan kejayaan meraih lima pingat itu amat membanggakan.
“Pada penyertaan pada 2024, kontinjen Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa bagi kategori Puck Collect-Junior dan masing-masing satu pingat emas serta satu pingat perak dalam kategori sama pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan World of Robotic Championship pada tahun ini akan diadakan pada 23 hingga 25 Oktober nanti bagi memilih kontinjen bertanding dalam Robot Challenge World Championship pada tahun depan.
“Penyertaan murid dan pelajar dalam pertandingan itu adalah satu pendedahan yang baik memandangkan Robot Challenge World Championship pada tahun ini disertai lebih 5,000 peserta dari 40 negara.
“Ia sekali gus memberi pengalaman baharu kepada anak muda tempatan dalam penyertaan pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, perkembangan teknologi yang semakin canggih memerlukan semua pihak terutama anak muda terdedah dengan maklumat berkaitan robotik serta kecerdasan buatan (AI).
“Di peringkat industri juga, penggunaan teknologi robot serta AI semakin dipertingkatkan. Dalam situasi ini, kita kena ubah cara mendidik anak-anak dengan memberi lebih banyak pendedahan mengenai teknologi kepada mereka.
“Jika anak-anak tidak didedahkan dengan maklumat ini, kita tidak tahu bakat terpendam dan memberi peluang untuk mengetengahkan kelebihan mereka.
“Dengan penyertaan pertandingan sebegini juga, ia menjadi platform mengumpulkan murid serta pelajar terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur yang diibaratkan seperti satu keluarga ketika bertanding di luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

