sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam mengakui kemungkinan besar Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi penampilan terakhirnya di pentas temasya berkenaan selepas berdepan kecederaan koyak meniskus.
Jelas Sharul Aimy, kecederaan itu sedikit sebanyak mengganggu persembahannya dan membuatkan dia terpaksa menerima hakikat usaha mempertahankan pingat gangsa di temasya itu agak sukar.
Namun, gimnas berusia 25 tahun itu yang mengalami kecederaan membabitkan bahu dan kaki kiri tidak mahu mengangkat bendera putih terlalu awal, sebaliknya akan berusaha memastikan kecederaan pulih sebelum hari pertandingan.
“Sekarang saya sudah melakukan rawatan PRP (plasma kaya platelet). Saya bermula dari kosong semula dan kini dalam proses pemulihan.
“Harap sebelum ke Sukan Asia, saya cergas dan dapat buat yang terbaik. Sebelum ini, saya sasarkan pingat, tetapi apabila tahu keputusan begini, memang masuk final pun sudah OK.
“Namun, kita ada lagi sebulan. Kalau sempat naikkan prestasi, kita buat, tetapi kalau tidak sempat, kita tengok apa yang boleh dibuat,” katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Sumali Reduan bersama timbalannya, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke venue latihan sukan bagi persiapan ke temasya terbesar Asia itu di Bukit Jalil, hari ini.
Pada edisi lalu di Hangzhou 2023, Sharul Aimy meraih pingat gangsa dalam acara melombol, sekali gus menamatkan penantian 17 tahun bagi sukan berkenaan.
Ketika ditanya mengenai peluang di Aichi-Nagoya, dia mahu menggunakan peluang ini sebaik mungkin kerana Sukan Asia adalah temasya empat tahun sekali dan amat rugi sekiranya melepaskan peluang begitu sahaja.
“Kita tahu Sukan Asia empat tahun sekali saja, jadi saya tak nak lepaskan peluang kerana tak tahu apa yang akan berlaku empat tahun lagi.
“Saya tak tahu nak kata, mungkin ini Sukan Komanwel atau Sukan Asia terakhir saya. Sebab kita tahu, empat tahun lagi ramai atlet junior akan naik,” katanya.
Dalam pada itu, Sharul Aimy tidak menolak kemungkinan menjalani pembedahan kali kelima selepas pulang dari Jepun nanti sekiranya kecederaannya gagal pulih sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
