sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas buat skuad sepak takraw negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, September ini.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan mengakui sudah pasti ramai pihak ingin melihat momentum ’emas’ skuad sepak takraw diteruskan ke Sukan Asia dan secara peribadi, kemenangan dua emas bakal menjadi bonus buat skuad negara serta kontinjen Malaysia.
“Sasaran saya sekurang-kurangnya satu emas di Sukan Asia untuk sepak takraw, secara peribadi.
“Tapi kalau dapat dua adalah bonus untuk sepak takraw dan bonus untuk negara juga. Untuk lelaki, kita cuma masuk dua acara (regu dan regu berpasukan) kerana tidak dibenarkan lebih daripada dua.
“Wanita pun sama. Jadi, maksimum dua acara untuk lelaki,” katanya selepas lawatan selaku Ketua Kontinjen (CDM) bersama timbalannya, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke venue latihan sukan bagi persiapan ke temasya terbesar Asia itu di Bukit Jalil, hari ini.
Selain itu, ketika ditanya mengenai pencapaian skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun yang meraih satu pingat perak (regu berpasukan lelaki) dan dua gangsa (regu lelaki dan regu berpasukan wanita) di Piala Raja Thai 2026 yang tamat semalam, Sumali melihat kejohanan berkenaan memberi pendedahan penting kepada pemain muda negara apabila sebahagian daripada mereka berdepan lawan antarabangsa buat kali pertama.
“Separuh daripada pemain yang kita hantar adalah pemain junior dan pemain baharu, tetapi mereka mampu sampai ke podium.
“Mereka turut mendapat pengalaman apabila beraksi di final menentang Thailand.
“Saya lihat banyak perkembangan dalam Piala Raja Thai kerana negara lain seperti Vietnam, Myanmar dan Laos semakin kuat.
“Kalau kita tidak fokus, bukan Malaysia sahaja, Thailand pun boleh kalah terutama dalam acara kuadran,” katanya.
Sementara itu, selaku CDM negara ke Sukan Asia 2026, Sumali berharap atlet negara mampu meneruskan momentum kejayaan meraih pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan mencipta pencapaian lebih membanggakan di Aichi-Nagoya.
“Harapan saya adalah untuk melihat banyak emas. Secara peribadi, saya mahu kita mencipta sejarah dengan meraih banyak pingat di Sukan Asia.
“Saya harap dalam masa sebulan ini semua atlet terus berlatih, menjaga prestasi, kesihatan dan disiplin. Baki masa ini amat bermakna dan kita tidak mahu kecederaan pada saat akhir menjejaskan sasaran kontinjen,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

