Alah bisa, tegal biasa. Namun, apabila cuaca panas semakin kerap dan berpanjangan, wajarkah kita terus menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa?
Kipas dipasang lebih lama, penyaman udara dibiarkan beroperasi tanpa henti dan kita mengeluh bahawa ‘sekarang cuaca memang panas’.
Bagaimana jika cuaca panas yang kita anggap sementara sebenarnya sedang menguji sejauh mana kita bersedia menghadapi risiko yang lebih besar?
Ini persoalan yang wajar difikirkan apabila negara bersiap siaga menghadapi kemungkinan kesan fenomena Super El Nino yang dijangka membawa keadaan lebih kering secara berterusan. El Nino bukan sekadar peningkatan suhu. Fenomena ini boleh mencetuskan kesan berantai terhadap kebakaran hutan, jerebu, kesihatan awam, pertanian dan yang paling penting, keselamatan bekalan air.
Justeru, persoalannya bukan sekadar sama ada El Nino akan berlaku atau berapa tinggi suhu yang bakal kita rasai. Persoalan yang lebih besar ialah adakah kita akan menunggu kesannya berlaku sebelum bertindak?
Sebenarnya, beberapa persediaan awal sudah dilakukan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), misalnya, sedang meningkatkan keupayaan operasi bagi menghadapi risiko kebakaran hutan ketika cuaca kering. Sebanyak 80 pam jentera bomba diterima dan 40 lagi dijangka menyusul. Selain itu, 200 kenderaan utiliti operasi ringan disediakan sebagai first responder bagi menangani kebakaran hutan berskala kecil.
Langkah ini mengingatkan kita bahawa dalam pengurusan bencana, masa bukan sekadar soal kelajuan, tetapi boleh menentukan besar atau kecilnya sesuatu krisis. Api yang masih kecil dan terkawal boleh dipadamkan sebelum merebak. Sebaliknya, kelewatan bertindak boleh mengubah kebakaran kecil menjadi bencana yang jauh lebih sukar dan mahal untuk ditangani.
Namun, di sebalik ancaman kebakaran yang mudah dilihat dan mendapat perhatian, terdapat satu lagi risiko yang lebih senyap, tetapi tidak kurang membimbangkan iaitu isu keselamatan bekalan air.
Apabila cuaca panas dan kering berlarutan, taburan hujan boleh berkurangan, sekali gus memberi tekanan kepada sumber air seperti sungai, empangan dan takungan. Pada masa sama, permintaan terhadap air terus meningkat. Keadaan ini menunjukkan kita tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada sumber air konvensional untuk menjamin keselamatan bekalan air negara.
Dengan curahan hujan yang begitu banyak di Malaysia, agak ironik jika air hujan hanya dilihat sebagai sesuatu yang perlu dialirkan pergi. Melalui Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), sumber ini boleh ditadah dan dimanfaatkan bagi kegunaan bukan minuman seperti mencuci, menyiram tanaman dan tandas. Penggunaannya lebih meluas di bangunan awam, premis komersial dan kemudahan awam boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan air terawat.
Lebih menarik, ‘bank air’ negara mungkin bukan sekadar apa yang kita lihat di empangan dan takungan. Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menunjukkan air juga boleh disimpan di bawah tanah melalui pendekatan Managed Aquifer Recharge (MAR). Lebihan air ketika musim hujan boleh disimpan dalam akuifer dan dimanfaatkan semula ketika musim kering. Potensi sumber air bawah tanah di Lembangan Sungai Langat menunjukkan kita sebenarnya mempunyai ruang simpanan air jauh lebih luas daripada yang selama ini kita bayangkan.
Selain itu, menghadapi El Nino bukan sekadar mengingatkan rakyat supaya minum lebih banyak air. Kita juga perlu bertanya soalan yang lebih mendasar, adakah semua rakyat mempunyai keupayaan yang sama untuk melindungi diri daripada cuaca panas?
Bagi pekerja pembinaan, petani, penghantar makanan dan mereka yang mencari rezeki di bawah terik matahari, peningkatan suhu bermakna mereka akan terdedah kepada haba secara langsung untuk tempoh yang panjang. Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik pula antara golongan yang lebih mudah terjejas daripada sudut kesihatan. Bagi keluarga berpendapatan rendah, menggunakan penyaman udara sepanjang hari pula mungkin bukan pilihan yang realistik kerana kos elektrik yang perlu ditanggung.
Justeru, kesan El Nino bukan sahaja persoalan cuaca dan kesihatan, tetapi turut menyentuh soal ketidaksamaan dan keadilan sosial. Risiko yang sama tidak semestinya menghasilkan kesan yang sama kepada setiap anggota masyarakat.
Negara yang berdaya tahan bukan negara yang memiliki paling banyak aset, teknologi atau kemudahan. Sebaliknya, negara yang benar-benar berdaya tahan ialah negara yang mampu memastikan golongan paling terdedah tidak dibiarkan menghadapi risiko seorang diri.
Jika El Niño sekadar membuatkan kita membeli lebih banyak air mineral, memasang kipas lebih lama dan mengeluh tentang bahang, kita sebenarnya belum belajar sesuatu yang bermakna. Sebaliknya, jika fenomena ini mendorong kita mempelbagaikan sumber air, memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kebakaran, melindungi golongan rentan dan mengubah cara kita mengurus risiko, maka bahang yang dirasai hari ini membawa pengajaran yang jauh lebih besar. Kita mungkin tidak mampu mengawal cuaca, tetapi kita mempunyai pilihan tentang bagaimana kita menghadapinya. Kesiapsiagaan bukan tentang menunggu bencana datang, tetapi memastikan apabila risiko tiba, kita tidak bermula dari kosong.
Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub
© New Straits Times Press (M) Bhd
