JIM tahan kanak-kanak 10 tahun jaga kedai runcit tapak pembinaan

am@hmetro.com.my

Melaka: Kanak-kanak lelaki Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka selepas ditemui menjaga sebuah kedai runcit di tapak pembinaan di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Kanak-kanak berusia 10 tahun dikenali itu antara 59 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Kutip) JIM Melaka bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di dua tapak pembinaan sekitar Bukit Baru.

Dalam pemeriksaan itu, kanak-kanak berkenaan ditemui menjaga kedai runcit yang dipercayai diusahakan pekerja warga Indonesia di kawasan tapak pembinaan berkenaan selepas ibunya pulang sementara ke negara asal.

Kedai itu turut dilengkapi kemudahan seperti sambungan Internet, komputer peribadi dan pendingin hawa dan kamera litar tertutup (CCTV).

Kanak-kanak itu mendakwa dia berada di Malaysia sejak lebih setahun lalu selepas datang bersama keluarganya dan sebelum ini menetap di Semabok sebelum berpindah ke Ayer Keroh.

Menurutnya, dia tidak bersekolah secara formal sebaliknya mengikuti pembelajaran secara dalam talian selain membantu ibu bapanya menjaga kedai berkenaan bersama neneknya.

“Saya mahu pulang ke Indonesia tetapi disebabkan wang masih belum ada, saya belum dapat pulang,” katanya ketika ditemui di rumah kongsi tapak pembinaan itu.

Sementara itu, nenek kanak-kanak itu yang mahu dikenali sebagai Faridah, 58, turut diperiksa dalam operasi itu dan mendakwa dia hanya membantu menjaga kedai sementara ibu kanak-kanak berkenaan pulang ke Indonesia.

Wanita itu memberi alasan terlupa memperbaharui pas perjalanan yang tamat tempoh sejak tiga tahun lalu dan mengakui sudah tinggal di Malaysia lebih tujuh tahun serta pernah bekerja sebagai buruh binaan.

“Saya tahu pas sudah tamat tempoh tetapi selama beberapa tahun saya tidak pernah ditahan, cuma kali ini,” katanya.

Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 73 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing.

“Kesemua yang ditahan itu berusia antara 10 hingga 54 tahun termasuk seorang wanita membabitkan 44 warga Bangladesh, sembilan (Indonesia), tiga (Myanmar) dan tiga (Pakistan) atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Kanak-kanak lelaki itu ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Anirwan, antara kesalahan yang dikesan adalah mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam operasi itu, KPDN Melaka turut mengeluarkan beberapa kompaun kepada pemilik kedai runcit itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana tidak mempamerkan tanda harga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top