PETALING JAYA: Sistem kerja 12 jam membabitkan keseluruhan produksi dilihat hanya memberi kelebihan kepada tenaga kerja belakang tabir dan pelakon, namun bakal menjejaskan pengarah dan penerbit berikutan peningkatan kos penggambaran.
Menurut Shahrulezad Mohameddin, 54, kekangan itu berpunca daripada harga jualan drama atau filem kepada stesen televisyen (TV) masih berada di takuk yang lama.
Baginya, jurang kos dan harga belian yang tidak seimbang itu boleh menyebabkan industri drama dan perfileman menguncup dan boleh memaksa banyak syarikat penerbitan gulung tikar.
Impak dominonya kata Shahrulezad, akan tetap berbalik kepada pekerja di belakang tabir dan barisan pelakon ekoran jumlah tawaran kerja yang semakin berkurangan.
“Adakah sistem kerja 12 jam ini memberi kelebihan kepada produksi kalau lihat secara terperinci? Ia memberi kelebihan kepada kru teknikal, artis dan semua pekerja di belakang kamera.
“Penerbit dan pengarah? Tidak, kami tidak akan bertahan lama sebab kos akan meningkat dengan pertambahan hari penggambaran sedangkan harga pembelian masih di takuk lama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Shahrulezad tidak menolak kemungkinan penerbit akan beralih kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang lebih murah berbanding CGI bagi mengurangkan kos operasi.
“Oh ya, jangan lupa dengan perkembangan dunia AI yang makin lama makin canggih dan realistik. Mungkin demi menyerap kos penerbitan yang semakin meningkat ditambah pula tuntutan kerja 12 jam sehari, saya tidak terperanjat kalau penerbit mula beralih kepada teknologi AI yang semakin mudah dan murah berbanding CGI.
“Pelakon ekstra akan lenyap secara perlahan-lahan sebab demi menyerap kos yang semakin meningkat dan sekiranya stesen TV tetap tidak berganjak daripada harga pembelian lama, semua orang termasuk saya sebagai pengarah sangat boleh digantikan,” katanya.

