Toronto: Bekas pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek merangkul gelaran pertamanya tahun ini selepas menewaskan Elena Rybakina yang kelihatan keletihan 6-2, 6-3, hari ini untuk muncul juara WTA 1000 Toronto.
Iga, juara enam Grand Slam, sebelum ini gagal mara ke mana-mana final pada 2026, manakala usahanya mempertahankan gelaran Wimbledon berakhir di pusingan ketiga.
Namun, pemain Poland itu mengawal permainan sepanjang perlawanan menentang Elena, juara Terbuka Australia yang menghuni ranking kedua dunia, sekali gus meraih kejuaraan sulungnya di Kanada.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 25 tahun berkenaan melonjak daripada kedudukan kelapan dunia kembali ke kelompok lima terbaik menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Selepas kemenangan berkenaan, Iga turut menyampaikan mesej kepada pihak yang meragui kemampuannya sepanjang apa yang disifatkannya sebagai musim paling sukar dalam kariernya.
“Ia sangat, sangat bermakna buat saya,” katanya ketika menerima trofi kejuaraan WTA 1000 yang ke-12 dalam kariernya.
“Beberapa bulan lalu bukan mudah. Saya sangat gembira kerana terus fokus untuk berkembang, mengubah permainan saya sedikit, memperbaikinya walaupun ramai orang setiap hari mempunyai pelbagai pendapat mengenai saya di internet.
“Bukan mudah untuk berdepan semua itu. Jadi saya sangat gembira kerana realitinya berbeza.
“Saya mempunyai orang yang benar-benar mengenali saya dan individu yang menyokong saya setiap minggu, setiap hari… jadi terima kasih kepada pasukan,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
