Inflasi Malaysia dijangka kekal sederhana

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Inflasi Malaysia dijangka kekal sederhana dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini walaupun tekanan kos luaran meningkat.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inflasi pada suku kedua 2026 berada pada 1.9 peratus, manakala tekanan harga pengguna setakat ini masih terkawal berikutan kesan pindahan kos yang lebih tinggi dari luar negara kekal terhad.

“Inflasi dijangka kekal sederhana, dalam julat yang kami unjurkan iaitu 1.5 hingga 2.5 peratus, dan suku kedua ialah 1.9 peratus,” katanya pada sidang media mengenai prestasi ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2026, di sini, hari ini.

Abdul Rasheed berkata, tekanan kos yang lebih tinggi turut dilihat pada Indeks Harga Pengeluar (PPI), namun ia masih tertumpu pada peringkat huluan rantaian pengeluaran.

Menurutnya, permintaan domestik yang berdaya tahan tetapi tidak berlebihan antara faktor yang mengehadkan keupayaan firma untuk memindahkan peningkatan kos kepada pengguna.

“Pertama, kita tidak mempunyai permintaan yang terlalu kukuh dan permintaan berdaya tahan tetapi tidak berlebihan,” katanya.

Beliau berkata, sokongan dasar kerajaan yang disasarkan, termasuk inisiatif bantuan subsidi BUDI turut membantu mengehadkan kesan kenaikan kos terhadap harga pengguna.

Beliau berkata, berdasarkan pembabitan BNM dengan sektor perniagaan, kira-kira 80 peratus firma melaporkan berdepan tekanan kos yang lebih tinggi.

Daripada jumlah itu, hanya kira-kira separuh menjangkakan akan memindahkan peningkatan kos kepada pengguna, manakala hanya separuh daripada kumpulan berkenaan dijangka memindahkan kos itu secara separa.

“Jadi, itulah yang kami lihat dari segi pindahan kos, ditambah dengan langkah dasar dan keadaan permintaan, ia membantu mengehadkan pindahan kepada harga,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, BNM kekal berwaspada terhadap risiko inflasi susulan ketidaktentuan konflik di Timur Tengah, khususnya kemungkinan kesannya terhadap harga komoditi dan makanan.

“Keadaan masih sangat tidak menentu dan kita perlu benar-benar melihat kesannya terhadap harga komoditi, harga makanan dan bagaimana ia akan mempengaruhi harga di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top