Ada anggota mahu keluar parti, tetapi jumlah tidak jejaskan PKR – Kamil Munim

MELAKA – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mengesahkan terdapat permohonan dalam kalangan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk keluar parti, namun menegaskan jumlahnya tidak signifikan sehingga boleh menjejaskan perjalanan organisasi itu.

Beliau berkata, sebahagian anggota terbabit memberikan alasan sudah hilang kepercayaan terhadap parti dan memilih untuk menyertai parti yang ditubuhkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli atau pimpinan berkaitan.

“Ya, saya tidak nafikan memang ada permohonan yang dibuat oleh anggota parti sebelum daripada ini untuk keluar parti.

“Ada yang memberikan alasan mereka sudah hilang kepercayaan kepada parti dan memilih untuk bersama dengan parti yang ditubuhkan oleh saudara Rafizi atau pimpinan berkaitan.

“Saya tak tahulah berapa peratus, tetapi mengikut laporan dan angka kita, jumlah itu tidak signifikan dan sama sekali tidak menjejaskan perjalanan organisasi PKR,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Rafizi yang juga pengasas Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mendakwa kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Negeri Sembilan awal bulan ini menyaksikan sebahagian ahli PKR menyertai parti berkenaan.

Beliau mendakwa perkembangan itu menyumbang kepada peningkatan mendadak keahlian BERSAMA yang kini kira-kira 29,200 ahli selepas hampir tiga bulan dilancarkan dengan kira-kira 25 peratus daripada jumlah itu merupakan bekas anggota PKR.

Rafizi turut menambah 15 peratus lagi bekas anggota parti politik lain termasuk UMNO, Pas dan Bersatu dan selebihnya kira-kira 60 peratus adalah individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

Muhammad Kamil berkata, PKR akan terus mengukuh dibuktikan dengan kehadiran perwakilan dengan jumlah yang sangat tinggi itu melambangkan komitmen serta tekad mereka untuk terus parti tersebut.

Dalam pada itu, mengulas pengumuman calon BERSAMA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada Sabtu, Kamil berkata PKR tidak menganggap kewujudan parti baharu itu sebagai sesuatu yang boleh mengganggu perjalanan mereka.

“Saya fikir politik kita pasca 2018 telah bergerak dalam satu dinamik politik yang sangat berbeza. Kita tidak lagi terikat dengan pendekatan politik sebelum daripada ini.

“Dalam ruang demokrasi di Malaysia, kita tidak ada hak untuk menghalang mana-mana pihak untuk menyertai pilihan raya. Jadi itu tidak mengganggu sama sekali perjalanan kita,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kewujudan calon daripada parti lain boleh memberi sedikit kesan terhadap keputusan pilihan raya, khususnya apabila mereka berkongsi segmen pengundi yang sama.

“Kita tidak nafikan juga ada sedikit kesan kerana segmen pengundi itu adalah segmen yang sama, seperti mana kita lihat dalam keputusan PRN Johor.

“Ada dua kerusi, Bukit Batu dan Perling, di mana terdapat calon lain diletakkan dan kita tewas dalam majoriti yang sangat nipis akibat sedikit perpindahan undi.

“Tetapi kita belajar daripada pengalaman. Maksudnya, setiap undi dikira. Jadi penting untuk kita pastikan bahawa kita dapat meraih sebanyak mungkin undi daripada pengundi untuk memastikan calon kita menang bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

 

Scroll to Top