Daripada 32-0 kepada gelombang kebangkitan: Mampukah UMNO-BN Terengganu bangkit semula?

KUALA TERENGGANU — Kekalahan mutlak UMNO-Barisan Nasional (BN) apabila tewas 0-32 kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 2023 bukan sekadar rekod kegagalan memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, keputusan itu sebaliknya dianggap sebagai satu kejutan elektoral (electoral shock) yang memusat kepada titik infleksi bagi menuntut penilaian semula struktur, strategi, naratif, kepimpinan, serta hubungan parti berkenaan dengan masyarakat.

​Menurut beliau, sejarah politik tidak pernah mengiktiraf kekalahan sebagai hukuman yang kekal, sebaliknya kegagalan hanya menjadi ‘kematian politik’ apabila sesebuah organisasi enggan belajar daripada kesilapan lalu.

“Persoalan paling penting untuk UMNO-BN Terengganu hari ini bukanlah sekadar meratapi kekalahan, tetapi merencana tindakan strategik agar keputusan 32-0 menjadi titik mula kepada sebuah kebangkitan.

“Gelombang kebangkitan perlu dibina sepanjang masa dan bukannya tiga bulan sebelum pilihan raya. ​Perspektif mobilisasi politik membuktikan jentera pilihan raya tidak boleh menggantikan kerja politik harian, sekali gus menuntut UMNO Terengganu beralih daripada model ‘parti pilihan raya’ kepada model parti yang sentiasa hadir menyelesai isu kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, serta ekonomi akar umbi,”katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

​Mengimbas sejarah Terengganu sendiri, katanya, pembalikan sokongan politik secara dramatik pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum 1999 apabila BN tewas 4-28 di tangan Pas/Barisan Alternatif, namun bangkit semula memenangi 28 daripada 32 kerusi DUN pada tahun 2004 di bawah meneraju kepimpinan Datuk Seri Idris Jusoh.

“​Fenomena perubahan keputusan tersebut membuktikan kekalahan besar bersifat tidak kekal, sekali gus mekanisme pemulihan sokongan orang Melayu dan perubahan naratif kepimpinan wajar dijadikan bahan bedah siasat secara ilmiah.

“Mengenai pilihan model gabungan, UMNO-BN Terengganu secara konseptualnya berhadapan dengan tiga pilihan strategik iaitu bergerak solo, bekerjasama dengan PN, atau membentuk jajaran bersama Pakatan Harapan (PH).

“​Langkah bertanding solo berupaya memperkasakan autonomi serta menguji kekuatan pangkalan undi sebenar. Namun, risiko pertandingan multi-penjuru boleh mencetuskan pecahan undi,” ujarnya.

​Sementara itu, katanya, kerjasama dengan PN mampu mengelakkan pertindihan kerusi dan menyatukan undi Melayu, tetapi berisiko menghakis kedudukan relatif UMNO manakala model kerjasama bersama PH pula dapat membentuk blok rentas etnik yang lebih luas, namun menuntut penyelarasan isu identiti serta penerimaan akar umbi di peringkat negeri.

Dalam pada itu, ​Dr Azrie turut menggariskan lima lapisan utama dalam membina gelombang kebangkitan iaitu pengukuhan organisasi berasaskan pangkalan data, kelahiran generasi pemimpin muda yang berakar di lapangan, penawaran dasar konkrit berasaskan angka dan sasaran, kecekapan komunikasi digital dua hala, serta pembinaan semula kepercayaan rakyat secara berterusan.

“​Iktibar daripada dinamik politik dalam negara mahupun luar negara seperti United Kingdom membuktikan tiada mana-mana parti yang mempunyai hak mutlak untuk memerintah secara kekal.

“Kebangkitan mampan UMNO-BN Terengganu tidak akan terhasil menerusi nostalgia atau slogan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kemampuan parti menawarkan harapan baharu yang relevan buat generasi pengundi akan datang,” ujar beliau.

 

 

Scroll to Top