Pengarah Program RXZ Members, Mohd Lukhman Hassan menjelaskan cadangan penutupan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sebelum ini sebenarnya sekadar gurauan pihak penganjur.
Menurutnya, cadangan berkenaan dikemukakan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), manakala RXZ Members hanya berseloroh mengenainya.
“Pihak LLM yang mencadangkan, tetapi kami berseloroh mahukannya. Acara maraton penuh boleh menutup jalan negeri dan persekutuan selama 12 jam, tidak mengapa. Kenapa kami tidak boleh? Kami pembayar cukai jalan. Pelari bayar cukai jalan juga ke?
“Tetapi sebenarnya kami tidak mahu pun. Cuma nak beritahu, Malaysia boleh dan ada acara yang menutup lebuh raya,” katanya.

Mengulas cadangan supaya pendaftaran peserta disertakan gambar motosikal, Mohd Lukhman berkata pihaknya menerima cadangan itu, namun tidak mempunyai kemampuan untuk meluluskan spesifikasi kenderaan yang boleh atau tidak boleh didaftarkan.
Artikel lain: “Kita ada minta LLM…”- RXZ Members cadang LPT ditutup sementara, beri riders laluan
“Kami okey sahaja dan terima cadangan itu, tetapi kami tidak mempunyai kemampuan untuk meluluskan spesifikasi kenderaan yang boleh dan tidak boleh didaftarkan. Kalau ada pihak yang mahu membantu, boleh sahaja.
“Kalau perlu memilih 100,000 pendaftaran, sekiranya tidak lulus, berikan terus komen mengenai perkara yang perlu diubah dan buat susulan dengan penunggang berkenaan sehingga lulus. Sebab itu sesi libat urus diperlukan lagi selepas ini jika mahu melaksanakannya. Macam hendak masuk PUSPAKOM, selepas ini kena buat tempahan,”jawabnya.

Dalam pada itu, Mohd Lukhman mengingatkan supaya komuniti RXZ dihormati dan menegaskan mereka tidak akan membenarkan diri diperlakukan sesuka hati.
“Jika dipijak, kami pasti melawan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komuniti RXZ lebih mengutamakan rasa hormat berbanding wang ringgit.
“Kami hanya boleh dibeli dengan rasa hormat dan rasa malu, tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kalau pound sterling mungkin kami ambil,” katanya secara berseloroh.
Sumber: FB Lukhman Hassan
