Kereta bertembung lori tangki minyak, beberapa individu dipercayai rentung

am@hmetro.com.my

Temerloh: Beberapa individu dipercayai rentung selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kedua-dua kenderaan terbabit turut terbakar menyebabkan operasi pemadaman dan penyelamatan mengambil masa berikutan muatan bahan api yang mudah terbakar.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan kereta yang sedang terbakar di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa muatan diesel dan petrol dari Seremban menuju ke Temerloh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah kereta dipercayai Perodua Bezza bertembung dengan bahagian sisi lori tangki berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbakar.

“Pemandu lori seorang lelaki berusia 37 tahun, berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata, pemandu serta penumpang kereta berkenaan dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum kenderaan itu terbakar.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar mangsa dan identiti mereka belum dapat dipastikan kerana keadaan kereta yang remuk teruk serta proses pemadaman api yang mengambil masa.

“Pasukan siasatan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih berada di lokasi bagi mendapatkan pengesahan jumlah mangsa dan butiran mereka.

“Setakat ini, kita percaya terdapat mangsa yang rentung dalam kereta berkenaan, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori tangki akan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top