am@hmetro.com.my
Bentong: Dua warga emas cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Chamang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum pasukan penyelamat dan polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis pacuan empat roda yang dinaiki kedua-dua mangsa dihempap pokok ketika melalui kawasan berkenaan.
“Kedua-duanya mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu.
“Mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Zaiham berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pokok berkenaan tumbang.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama ketika melalui kawasan yang mempunyai pokok besar atau pokok yang dilihat berisiko tumbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

