Kepemimpinan berkepakaran, tadbir urus baik elak masalah Tabung Haji berulang – IKRAM

Kuala Lumpur: Tadbir urus yang baik serta kepimpinan dengan kepakaran bersesuaian penting bagi memastikan masalah yang pernah dihadapi Lembaga Tabung Haji (TH) tidak berulang, sekali gus membolehkan institusi itu memberi manfaat lebih besar kepada pendeposit termasuk golongan muda.

Penganalisis Data Pasukan Agenda Ekonomi, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Mohamad Ikmal Ahmad Nordin berkata isu yang dibangkitkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH perlu dilihat secara menyeluruh dengan meneliti punca yang membawa kepada permasalahan berkenaan, walaupun institusi itu telah melalui proses pemulihan.

Beliau berkata antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah aspek kompetensi kepimpinan, khususnya mengambil kira TH bukan sahaja mempunyai fungsi berkaitan urusan haji tetapi juga berperanan sebagai sebuah institusi kewangan.

“Kalau institusi kewangan, maknanya orang yang duduk di atas itu kurang-kurang perlu ada kepandaian membaca akaun ataupun kepandaian menguruskan duit.

“Mungkin kena penuhkan institusi ini dengan pengurus dana, akauntan ataupun aktuari. Jadi orang yang berkepakaran sebegini.

“Untuk menguruskan aspek pelaburan, dari segi aspek pengurusan haji dan juga urusan keagamaan mungkin kita boleh serahkan kepada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ataupun Menteri Agama sendiri,” katanya pada program Darah Muda bertajuk “RCI Tabung Haji: Amanah Siapa, Masa Depan Kita?” terbitan Bernama TV malam ini.

Mohamad Ikmal berkata langkah memperkukuh tadbir urus TH turut mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan generasi muda kerana pengurusan kewangan yang lebih baik dan berfokus boleh membuka ruang kepada pengenalan skim yang membantu mereka membuat persediaan menunaikan haji.

“Perkara ini memerlukan tadbir urus yang baik, pimpinan yang berfikiran agak ke depan dan progresif.

“Benda ini perlu didesak oleh orang muda sebab orang muda yang tahu masalah mereka. Betapa susah dan mahalnya menabung untuk pergi haji,” katanya.

Beliau berkata TH juga perlu kembali memberi fokus kepada mandat asalnya serta membina semula kepercayaan masyarakat, termasuk meneroka instrumen yang boleh membantu lebih ramai umat Islam menunaikan haji.

Pada masa sama, Mohamad Ikmal menyokong audit forensik diteruskan terhadap syarikat berkaitan bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada masalah TH sebelum ini serta pihak yang mendapat manfaat daripada aliran dana berkenaan.

“Kalau kita tangani yang satu saja dan yang lain-lain itu kita lepaskan di bawah karpet, mungkin benda ini akan berlaku lagi.

“Jadi saya setujulah kalau dibuat dan diteruskan audit forensik kepada syarikat yang di bawah (TH) itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top