Syaza bayar pengorbanan dengan emas pertama Terengganu

PETALING JAYA: Pengorbanan berjauhan daripada keluarga, masa, tenaga, serta disiplin menjaga diet akhirnya menuai hasil apabila Nur Syaza Damia Arif merangkul pingat emas pertama Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Syaza, 19, mengakui perjalanan menuju podium bukan mudah apabila terpaksa meninggalkan keluarga selain memberi sepenuh tumpuan kepada latihan hampir tujuh bulan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pengorbanan saya banyak, agak banyaklah, kena berjauhan dengan keluarga, kena korbankan masa dan tenaga, kena jaga makan serta minum, semua itu susah untuk saya tetapi alhamdulillah saya dapat pingat emas,” katanya.

Berkat pengorbanan itu, Syaza akhirnya melepasi sasaran asal pingat perak apabila mencatat masa 2 minit 22.624 saat (s) untuk menjuarai acara downhill individu wanita di Lembah Peladang Agro Campsite, Sungai Buloh sekali gus menjadi emas pertama kontinjen Terengganu.

“Keluarga bagi semangat, suruh doa banyak-banyak dan minta kepada Tuhan, solat jangan tinggal, selain berlatih dan fokus betul-betul,” katanya.

Syaza turut mengakui kejayaan itu menghadirkan kelegaan besar selepas segala penat lelah yang dilaluinya sepanjang persiapan akhirnya membuahkan hasil di pentas SUKMA.

“Perasaan saya sangat-sangat gembira, alhamdulillah, tak sia-sia saya berlatih selama ini,” katanya.

Kelantan meraih perak menerusi Nurul Azlina Razali yang mencatat 2:24.607s, manakala rakan sepasukannya Nur Natasya Syamimi Irwan melengkapkan podium dengan masa 2:26.010s.

Dalam saingan lelaki, Negeri Sembilan turut membuka akaun emas menerusi Zane Aydeen Faisal yang menjuarai downhill individu selepas menjadi satu-satunya pelumba podium memecahkan catatan dua minit dengan masa 1:58.146s, mengatasi Pahang menerusi Tengku Mukhriz Tengku Mansor (1:59.653s) dan wakil Sabah Brenjen Bon Jacob (2:04.519s). – UTUSAN

Scroll to Top