Kuala Lumpur: Juruterbang Malaysia yang ditahan kerana menyeludup lebih 26 kilogram (kg) dadah ke Indonesia akhir bulan lalu didapati bertindak secara solo untuk melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan awal mendapati tiada pembabitan ‘orang dalam’ sehingga suspek dapat melepasi pemeriksaan di KLIA.
“Hasil soal siasat, kita dapati tidak menunjukkan ada penglibatan orang dalam di KLIA, maksudnya dia kerja secara solo dari segi membolosi pemeriksaan itu.
“Jadi yang itu yang perlu halusi bagaimana perkara itu tak dapat dikesan.
“Jadi buat masa ini pihak PDRM berpuas hati, maksudnya tidak ada penglibatan orang dalam dalam proses yang melibatkan juruterbang itu,” katanya ketika dihubungi Buletin Utama hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kaedah yang digunakan suspek untuk melepasi pemeriksaan di lapangan terbang tidak dapat didedahkan bagi memastikan siasatan tidak terjejas.
Pada 28 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, selepas menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi dan syabu dalam bagasinya.
Polis Indonesia berkata suspek berusia 39 tahun itu dijanjikan bayaran RM50,000 untuk menyeludup dadah.
Sementara itu, soal siasat oleh Pasukan Penyiasat Narkotik Malaysia terhadap juruterbang terbabit di Indonesia turut membongkar rangkaian sindiket dadah di dalam dan luar negara.
“Dia mendedahkan beberapa sindiket yang berada di Malaysia dan di beberapa negara lain termasuk di Indonesia.
“Jadi PDRM akan siasat lebih lanjut penglibatan ahli dalam sindiket tersebut termasuklah aliran kewangan yang melibatkan dadah.
“Ini bukan kali pertama. Dia sudah beberapa kali terbabit melibatkan beberapa negaralah.
“Yang itu dalam tindakan pihak PDRM lagi untuk kita siasat sindiket di dalam negara dan kita akan berkongsi maklumat itu dengan agensi dadah di negara berkaitan,” katanya.
Hussein berkata, sesi soal siasat pada asalnya dijadualkan kelmarin dan semalam, namun Polis Nasional Indonesia (POLRI) membenarkan pasukan Malaysia menyoal siasat suspek untuk satu hari tambahan, sekali gus melanjutkan sesi itu hingga hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
