KUTAI KARTANEGARA – Gara-gara tidak tahan dibuli, seorang lelaki nekad membawa 40 liter petrol ke pejabat sebelum cuba mencetuskan kebakaran besar.
Kejadian itu berlaku di Dinas Komunikasi dan Informatika (Diskominfo) Kabupaten Kutai Kartanegara (Kukar), provinsi Kalimantan Timur di Indonesia selepas dia didakwa membakar bilik mesyuarat pejabat berkenaan.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Resort Kukar, AKP Elnath Splendidta Wafiq Gemilang mengesahkan kejadian tersebut.
Polis kini menyiasat motif dan kronologi kejadian pada pagi Selasa tersebut.
Pelaku dikenali sebagai MA bekerja sebagai operator pusat panggilan di Diskominfo Kukar.
Berdasarkan siasatan awal, polis mengesyaki tindakan tersebut berpunca daripada konflik MA dengan persekitaran tempat kerjanya.
Menurut Elnath, MA berang kerana sering menjadi bahan ejekan dan dibuli rakan sekerja.
“Dia naik angin kerana mereka sering merakam foto dan menjadikannya sebagai sticker yang kemudiannya dikongsikan dalam kumpulan sembang sebagai gurauan yang dianggap melampau,” jelasnya.
Difahamkan, api yang tercetus dan memusnahkan sebahagian bilik mesyuarat itu berjaya dikawal oleh kakitangan Diskominfo bersama petugas Jabatan Pemadam Kebakaran dan Penyelamatan (Disdamkarmatan) Kukar sebelum ia merebak.
MA kini telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan berdasarkan sejumlah barang bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan mengambil keterangan beberapa saksi. – Agensi