PETALING JAYA: Persaingan merebut kerusi Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin menarik apabila jumlah calon berkurangan daripada lima kepada empat selepas seorang calon menarik diri menjelang Kongres Pemilihan badan induk itu pada 17 September depan.
Perkembangan itu menjadikan perebutan jawatan berkenaan antara tumpuan utama pemilihan FAM yang dilihat penting dalam menentukan hala tuju baharu badan induk bola sepak negara selepas melalui tempoh penuh kontroversi, termasuk isu membabitkan tujuh pemain warisan ‘palsu’ yang memberi kesan terhadap imej Malaysia.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, perubahan lanskap persaingan itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua calon bahawa mereka bukan sekadar merebut jawatan, sebaliknya perlu bersedia memikul amanah besar untuk mengembalikan keyakinan terhadap FAM dan bola sepak Malaysia.
Menurutnya, calon yang dipilih perlu mempunyai keberanian, kebijaksanaan, pengalaman serta kemampuan untuk melakukan perubahan, manakala perwakilan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) dan Kelab Bolasepak (FC) perlu menggunakan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab.
“Masa depan FAM berada di hujung jari perwakilan yang terdiri daripada FA dan FC yang ada hak untuk memilih.
“Kalau salah pilih pemimpin, bola kita tidak akan berubah. Semuanya di tangan perwakilan,” katanya yang pernah membantu skuad negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum Malaysia memboikot temasya berkenaan.
Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 dijadualkan berlangsung pada 17 September 2026, manakala tarikh akhir bagi calon mengesahkan penerimaan atau penolakan pencalonan ialah pada 2 September 2026, jam 5.30 petang.
Pemilihan kali ini turut menyaksikan perubahan struktur pentadbiran FAM seperti yang dicadangkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), dengan jumlah kerusi kepimpinan dikurangkan daripada 17 kepada 11 bagi memperkemas tadbir urus serta meningkatkan kecekapan organisasi.
Struktur baharu itu membabitkan satu jawatan Presiden, tiga Naib Presiden dan tujuh kerusi Exco yang mewakili pelbagai kelompok dalam ekosistem bola sepak negara. Daripada tiga kerusi Naib Presiden, satu kerusi diperuntukkan secara automatik kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), manakala tujuh kerusi Exco dibahagikan kepada wakil persatuan bola sepak negeri, kelab, badan berkepentingan serta wakil wanita.
Dengan persaingan Naib Presiden 1 kini menyaksikan empat calon selepas seorang menarik diri daripada senarai asal lima calon, perhatian perwakilan pastinya tertumpu kepada calon yang mampu menawarkan kepimpinan, pengalaman dan visi paling jelas untuk membantu FAM bangkit daripada kemelut lalu.
Undi yang bakal dibuat pada 17 September bukan sekadar menentukan siapa yang menang, tetapi siapa yang mampu memikul amanah membawa bola sepak Malaysia ke arah lebih baik. – UTUSAN

