Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kehilangan dana berbilion ringgit yang dikaitkan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh dipandang ringan, malah sekali lagi mempertahankan penggunaan istilah ‘sakau’ dalam membangkitkan kepincangan yang berlaku dalam institusi berkenaan.
Perdana Menteri berkata, beliau sedar ada pihak yang tidak senang dengan istilah itu, namun kehilangan RM12 bilion seperti dibangkitkan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH menuntut penjelasan dan tindakan.
“Saya nak ulang di Melaka, memang ada sakau dalam TH, RM12 bilion hilang itu bukan sakau?
“Harus diingat, bila kita mengambil keputusan untuk dedahkan laporan itu, ia keputusan Jemaah Menteri dan tiada seorang pun yang bantah, malah ada yang mencadangkan supaya jangan hentikan setakat 2020 sahaja, tapi sambung,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Menurut Anwar, perbuatan segelintir pihak yang menyeleweng amanah akhirnya memberi kesan lebih besar apabila kerugian terpaksa ditanggung rakyat secara keseluruhannya.
“Yang menyakau itu sesetengah sahaja, tetapi yang terpaksa bayar dan tanggung, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mendedahkan Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan supaya usaha membongkar kepincangan dan ketirisan tidak berakhir dengan TH semata-mata, sebaliknya diperluaskan kepada agensi lain.
“Ke bawah Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu, maklum pada saya, jangan berakhir dengan TH saja… teruskan… selesai TH, bongkar Felda,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan proses itu bukan bermaksud mana-mana individu boleh terus dihukum hanya berdasarkan tuduhan, sebaliknya siasatan perlu dilaksanakan secara profesional oleh badan penguatkuasaan sebelum sebarang tindakan diambil.
“Bukan hukum sebelum ada kepastian. Jangan terus tuding jari, biar badan penguatkuasa siasat secara profesional.
“RCI ini beberapa kali telah dibentangkan di Parlimen, bukannya oleh Perdana Menteri, tapi menteri berkaitan dan siasat bukan urusan saya, tapi badan penguatkuasaan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata arahannya kepada agensi penguatkuasaan adalah jelas iaitu tindakan perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melakukan kesalahan tanpa mengambil kira kedudukan atau latar belakang politik.
“Tidak kira dari parti mana, salah, tangkap dan dakwa,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya tindakan terhadap kes berprofil tinggi didorong dendam politik, sambil menegaskan proses penguatkuasaan terhadap beberapa kes besar sudah bermula sebelum beliau menerajui kerajaan.
“Ada orang, kononnya kalangan elit yang pintar katakan Perdana Menteri sekarang terdesak dan nampak dendam ambil tindakan.
“Saudara, 1MDB punya tindakan… lama sebelum saya dan beberapa tindakan kes besar lain juga diteruskan,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan akan tetap berdepan kritikan sama ada memilih untuk bertindak mahupun sebaliknya, namun perkara itu tidak akan menghalang tindakan lebih tegas terhadap penyelewengan harta rakyat.
“Kata mereka, kalau ambil tindakan dendam dan tidak ambil tindakan kompromi dan lembap.
“Kamu bicaralah apa-apa pun, saya nak jawab menyatakan bahawa proses tindakan lebih tegas bermula sekarang,” katanya.
KREDIT GAMBAR UTAMA: THE EDGE
