sukan@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Terengganu melakar penguasaan mutlak dalam acara berbasikal merentas desa Olimpik (XCO) lelaki apabila menyapu bersih ketiga-tiga pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Denai Peladang Agro, MTB Trail, hari ini.
Muhammad Naufal Iman Mohamad Fauzi muncul juara selepas menamatkan perlumbaan sejauh 18 kilometer dengan catatan 1 jam 7 minit 28 saat (s), diikuti rakan senegeri, Saniy Syuaib Mohd Safiee yang meraih perak dengan masa 1:07:41s, manakala gangsa menjadi milik Muhammad Effan Wafiy Nor Effandy menerusi catatan 1:10:12s.
Lebih manis buat Naufal, kejayaan itu hadir pada penampilan sulungnya di pentas SUKMA selepas terlepas edisi terdahulu, sekali gus membuktikan latihan selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil.
“Saya sangat gembira sebab ini SUKMA pertama saya. SUKMA lepas saya tidak dapat sertai. Untuk SUKMA ini saya buat yang sehabis baik dan Alhamdulillah strategi yang saya buat menjadi.
“Saya sebenarnya tidak menjangka boleh dapat nombor satu,” katanya.
Pelumba berusia 19 tahun itu bermula dari barisan ketiga sebelum menggunakan strategi mengejar kelompok hadapan dan mengambil peluang untuk berada di belakang Syuaib.
Naufal kemudian membuat gerakan pada pusingan terakhir dengan mencari ruang untuk memintas pelumba di hadapannya sebelum menggunakan tenaga sepenuhnya bagi memburu kemenangan.
“Saya kejar yang depan untuk cari peluang duduk di belakang Syuaib. Kemudian pada pusingan terakhir saya cuba dan Alhamdulillah menjadi.
“Saya nampak ada ruang apabila orang ke tepi, jadi saya terus pergi ke depan. Saya gunakan tenaga yang banyak tetapi Alhamdulillah strategi itu menjadi,” katanya.
Kemenangan itu dianggap cukup berharga buat Naufal selepas mengorbankan masa dan tenaga sepanjang dua tahun menjalani latihan sebagai persiapan untuk mencapai tahap lebih tinggi.
“Hasil titik peluh saya daripada dua tahun latihan. Sakit, penat, semuanya saya letak di sini. Saya beri sepenuh tenaga,” katanya.
Naufal turut menyimpan impian untuk mengikut jejak pelumba senior negara yang sudah beraksi di perlumbaan antarabangsa, selain menyasarkan peluang mewakili Malaysia di Sukan SEA tahun depan.
“Selama dua tahun itu saya lihat pelumba senior sudah pergi berlumba di luar negara. Saya ada hasrat untuk jadi seperti mereka satu hari nanti.
“Saya cuba sedaya upaya. Buat masa ini saya mahu cuba layak ke Sukan SEA tahun depan dahulu,” katanya.
Malah, Naufal tidak menolak kemungkinan memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, namun menyedari dia perlu mengumpul lebih banyak mata ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menerusi penyertaan dalam perlumbaan luar negara.
“2028 boleh. Saya akan cuba lawan. Tetapi saya perlu banyak berlumba di luar negara untuk mendapatkan mata UCI,” katanya.
Kejayaan Naufal, Syuaib dan Effan sekali gus memastikan Terengganu membawa pulang satu set lengkap pingat daripada acara XCO lelaki, membuktikan kekuatan negeri itu dalam disiplin berbasikal lasak pada SUKMA kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
