am@hmetro.com.my
Temerloh: Pemandu lori tangki terbabit dengan kemalangan yang meragut nyawa dua beranak di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, di sini, semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata lelaki berusia 37 tahun direman mulai hari ini hingga Selasa depan.
Menurutnya, pemandu lori tangki terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki terbabit disahkan negatif dadah,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, seorang wanita dan anak lelakinya rentung selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol.
Kemalangan itu turut menyebabkan lori dan kereta terbabit terbakar dan dua beranak terbabit rentung.
Bagaimanapun, pemandu lori tangki hanya cedera ringan.
Kejadian berlaku ketika kereta dinaiki dua beranak terbabit dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban, Negeri Sembilan.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku selepas lori tangki dalam perjalanan dari Seremban ke Temerloh terbabit terbabas dan terbalik serta menghempap kereta dinaiki dua beranak berkenaan.
Mohd Nasyim berkata, proses bedah siasat terhadap dua mayat terbabit dilakukan di Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Menurutnya, proses pengebumian mungkin tidak dapat dilakukan lagi sehingga keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap dua beranak terbabit diperoleh.
Bagaimanapun, katanya, hingga kini waris mangsa sudah tampil membuat pengesahan identiti dua beranak terbabit.
Mangsa ialah Nur Fatima Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, berasal dari Jerantut.
© New Straits Times Press (M) Bhd
