am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penduduk kampung merayu ada pihak dapat memberi bantuan enjin pam air bagi mengatasi masalah tali air tersumbat dan limpahan air di Kampung Kubang Laka, Peringat, di sini.
Mereka mendakwa limpahan air di kawasan berkenaan berlarutan sejak sembilan bulan lalu hingga menjejaskan aktiviti harian dan tanaman lebih 200 penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Kubang Laka, Kampung Pangkal Pisang dan Kampung Machang Bubuk.
Penduduk, Khaibin Ahmad, 51, berkata, sebelum ini air di kawasan berkenaan dibawa keluar melalui tali air berhampiran dan laluan itu dibuat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di tanah persendirian.
Menurutnya, selepas pemilik tanah persendirian mendirikan kediaman, laluan air itu ditutup dan laluan sedia ada yang kecil tidak mampu menampungnya sekiranya berlaku hujan berterusan.
“Limpahan air ini menyebabkan beberapa masalah kepada pesawah padi, kubur berdekatan dan jika hujan akan berlaku banjir termenung yang mengambil masa lama untuk surut antara dua hingga tiga minggu.
“Kami mahu penyelesaian untuk buat saluran air keluar,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Laka, Peringat, di sini.
Menurutnya, limpahan air turut menenggelamkan kebun getah dan durian penduduk dan dibimbangi musim tengkujuh November nanti memburukkan lagi keadaan.
Petani, Kadir Awang, 76, berkata, seramai enam penanam padi dengan keluasan lebih 12 hektar padi sudah kerugian lebih RM50,000 selepas bendang mereka ditenggelami air lebih 0.3 meter.
Katanya, benih padi yang ditabur sejak awal Julai lalu semuanya sudah rosak dan tidak dapat menanam padi bagi musim 1/2026 kali ini.
“Sepatutnya sudah masuk peringkat bunting, tetapi sudah 25 hari benih tak naik, nak tanam baru air masih ada, tidak tahu bila surut, nampaknya musim ini rugi sahaja,” katanya yang memaklumkan kerugian lebih RM5,000 untuk anak benih dan upah membajak.
Ketua Unit Peladang Kawasan Pangkal Pisang Zuha Ismail berkata, penduduk kampung mengambil inisiatif sendiri dengan kreatif menggunakan mesin membajak dan pam ‘backward’ untuk menyedut keluar air ke tali itu.
Menurutnya, mereka terpaksa mengeluarkan kos sendiri kira-kira RM100 sehari untuk pembelian diesel namun tidak padan dengan limpahan air yang masih tinggi.
“Kami minta pihak berkaitan seperti KADA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pihak berkaitan, turun ke lokasi dan bantu selesaikan masalah ini kerana bimbang jika tiba musim tengkujuh nanti, kerana biasa pun air di sini mencecah lebih dua meter,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
