suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Subang Jaya: Semua penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, di sini, ditangguhkan sehingga diberitahu kelak susulan insiden kebakaran sebuah helikopter, hari ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan, helikopter terbabit insiden itu adalah jenis Kamov Ka-32S dengan pendaftaran UR-CIT.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.28 tengah hari itu ketika helikopter berkenaan sedang menjalani ujian enjin di darat sebagai sebahagian daripada aktiviti penyelenggaraan.
“Landasan ketika ini ditutup. Semua penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
“Penumpang dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam kenyataan sama, CAAM berkata, insiden itu akan disiasat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Hari ini Harian Metro melaporkan, sebuah helikopter terbakar ketika berlepas bagi tujuan pengujian enjin selepas menjalani kerja pembaikan di LTSAAS.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd
