OTTAWA: Rangkaian klinik pendermaan plasma swasta di Kanada menghentikan sementara operasi selepas kerajaan melancarkan siasatan baharu berhubung kemungkinan wujud amalan tidak selamat ekoran kes kematian dua penderma.
Syarikat penjagaan kesihatan Grifols dari Sepanyol yang mengendalikan 17 klinik di Kanada dan merupakan satu-satunya pengendali klinik plasma swasta di negara itu, memaklumkan Health Canada mengenai keputusan menghentikan sementara pengambilan plasma pada Rabu.
Grifols berkata, pihaknya memutuskan untuk menghentikan pengambilan plasma secara proaktif dan sukarela berikutan apa yang disifatkannya sebagai pantauan tidak berasas.
Tindakan itu dibuat selepas gesaan supaya kerajaan mengambil langkah susulan laporan CBC News mengenai dua individu yang meninggal dunia akibat tindak balas buruk ketika menderma plasma di dua klinik Grifols berasingan di Winnipeg.
Pemeriksaan terbaharu Health Canada turut mengenal pasti masalah berkaitan saringan dan pemantauan penderma, manakala data kerajaan persekutuan menunjukkan 25 tindak balas buruk serius berlaku di pusat yang dikendalikan Grifols sejak 2018.
Health Canada berkata, dua kematian itu berlaku selepas pendermaan plasma pada Oktober 2025 dan Januari 2026. Kedua-dua penderma yang berasal dari wilayah Manitoba dilaporkan mengalami keadaan kritikal ketika menjalani proses pendermaan.
Sebelum penggantungan terbaharu itu diumumkan, penderma dibenarkan menderma plasma di klinik Grifols dua kali seminggu. Syarikat itu membayar sehingga 100 dolar Kanada (RM294) bagi setiap pendermaan.
Plasma ialah cecair berwarna kuning pucat dan kaya dengan protein dalam darah yang membantu mengangkut sel darah merah dan putih serta platelet melalui saluran darah.
Plasma turut membantu mencegah pendarahan berlebihan dan digunakan untuk menghasilkan ubat bagi merawat pelbagai keadaan termasuk hemofilia, penyakit hati dan beberapa jenis kanser.
Proses pendermaan plasma berbeza daripada pendermaan darah biasa.
Menurut Canadian Blood Services, alat perubatan yang dikenali sebagai mesin aferesis akan mengeluarkan darah, mengasingkannya kepada komponen berbeza, mengumpulkan komponen yang diperlukan sebelum mengembalikan baki darah ke dalam tubuh penderma.
Proses itu mengambil masa kira-kira 90 minit, berbanding sekitar 10 minit bagi pengambilan darah biasa.


