puterialia@hmetro.com.my
Bukit Jalil: Persembahan bertenaga kumpulan K.O.I menerusi lagu berunsurkan mesej kemanusiaan, Tiwikarma, berjaya mencuri tumpuan penonton dan menggegarkan Unifi Arena pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) di sini, malam ini.
Suasana bertukar gamat dengan sorakan gemuruh penonton yang turut memberikan ‘standing ovation’ selepas terpesona dengan kehebatan persembahan berkenaan.
Lebih memukau, persembahan itu turut dihiasi dengan penggunaan prop berukuran besar di atas pentas, selain meriah dengan kehadiran penari pelbagai peringkat umur, daripada golongan muda hingga ke peringkat kanak-kanak.
Tidak hanya bergantung kepada elemen nyanyian dan tarian, K.O.I turut menyelitkan segmen sitkom pendek yang menampilkan pelakon, Farah Ahmad bersama Zarra Zhaf, sekali gus menghangatkan lagi suasana malam berkenaan.
Kemuncak persembahan turut diserikan dengan momen dramatik apabila penonton dihujani kertas berwarna putih yang bertaburan turun dari bahagian atas ruang Unifi Arena, meninggalkan memori indah buat semua yang hadir.
Lagu Tiwikarma nyanyian K.O.I dihasilkan oleh Zai Hamzah dan Hemo Globin serta ditulis oleh Achoi Floor 88, Khaza,Raflex,Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
