am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Situasi keselamatan di Semporna dan Lahad Datu, Sabah berada dalam keadaan terkawal susulan dakwaan tular mengenai kemasukan sekumpulan lelaki bersenjata ke kawasan berkenaan.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos, berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana pemantauan dan kawalan keselamatan sentiasa dilaksanakan.
“ESSCOM sentiasa menjalankan pemantauan dan kawalan keselamatan, khususnya di perairan serta lokasi strategik dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
“Langkah itu termasuk pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang ancaman atau aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk dan kawasan perairan Sabah Timur,” katanya.
Victor turut menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai kemasukan sekumpulan lelaki bersenjata ke Semporna dan Lahad Datu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang maklumat berkaitan ancaman keselamatan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan pengesahan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yang memaparkan beberapa gambar sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan membawa senjata, dengan kapsyen mendakwa mereka adalah kumpulan keempat yang tiba di Semporna dan Lahad Datu.
Hantaran itu sekali gus menimbulkan persoalan serta kebimbangan mengenai dakwaan kehadiran kumpulan bersenjata di kedua-dua kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


