Aina Abdul terima tepukan gemuruh penonton

puterialia@hmetro.com.my

Bukit Jalil: Penyanyi, Aina Abdul sekali lagi mencuri tumpuan penonton apabila tampil menggayakan busana berwarna hitam bersama prop pohon kayu yang dilekatkan di belakang badannya ketika mempersembahkan lagu Kamu di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Pencahayaan warna merah memenuhi segenap ruang pentas dan Aina memulakan persembahannya dengan menyapa penonton sebelum menyanyi.

“Assalammualaikum, AJL40,” katanya.

Bukan sekadar di pentas AJL, Aina juga sering mencuri tumpuan dengan penampilannya yang ‘berani’ dan dianggap pelik.

Setiap tahun, sejak penyertaannya dalam AJL, Aina sentiasa memberikan konsep persembahan luar biasa daripada kebiasaan.

Konsistensi vokal bertenaga dipamerkan Aina benar-benar mengujakan penonton sekali gus membuktikan komitmennya untuk tampil ‘all out’ demi kepuasan peminat setianya.

Kemuncak persembahan dinoktahkan dengan penutup bervokal tinggi yang luar biasa, sekali gus mendorong seluruh penonton berdiri memberikan tepukan gemuruh buat penyanyi itu.

Untuk rekod, Aina pernah menggenggam Anugerah Juara Lagu menerusi Terus Hidup di AJL 37 dan dua kali Anugerah Vokal Terbaik di AJL36 dan AJL38 serta Anugerah Persembahan Terbaik pada AJL 39.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top