'Saya tak dapat bayangkan kesakitan, kesengsaraan dia tanggung' – Ibu saudara pelajar dibunuh

'Saya tak dapat bayangkan kesakitan, kesengsaraan dia tanggung' – Ibu saudara pelajar dibunuh

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, semalam dikatakan bercita-cita mahu mengikut jejak langkah arwah ibunya sebagai doktor pakar.

Ibu saudaranya, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata arwah pernah memberitahu mengenai cita-citanya kepada beliau sebelum ini.

“Arwah pernah cakap pada saya dia tanya doktor mana sesuai untuknya. Saya jawablah lebih baik jadi doktor pakar sakit puan.

“Dia cakap nak jadi doktor seperti arwah ibunya,” katanya sambil memberitahu arwah ibu mangsa adalah doktor pakar kesihatan awam.

Pelajar itu adalah anak tunggal yang kehilangan ibunya ketika berusia lapan tahun akibat kanser hati.

Ibunya yang juga seorang doktor pernah bertugas di Hospital Serdang, manakala bapanya bekerja sebagai jurutera di Bangi.

Siti Nur Faeza yang juga seorang guru berkata, arwah anak saudaranya seorang yang rajin belajar dan sangat baik selain tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga.

Beliau berkata, anak saudaranya itu seorang yang pendiam dan rajin mengulangkaji pelajaran, malah sering memperoleh keputusan cemerlang di sekolah.

“Kalau ada peperiksaan, arwah sama ada mendapat tempat pertama atau kedua dalam tingkatan. Dia juga berpotensi memperoleh keputusan 9A di sekolahnya.

“Dia antara pelajar harapan keluarga dan sekolah. Dia memang suka mengulang kaji dan sangat fokus terhadap pelajaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Nur Faeza berkata, dia tidak dapat membayangkan ketakutan dan kesakitan yang dilalui Fiya selepas kejadian, terutama ketika berada di dalam dewan yang gelap.

Dia yang turut bersama ibunya, Jameyah Rabani, 65, keluar mencari arwah pada hari kejadian selepas dimaklumkan anak tunggal itu tidak pulang ke rumah sebaik kelas tambahan berakhir jam 5 petang.

“Saya tak dapat bayangkan kesakitan, kesengsaraan yang dia tanggung sebelum kami menemuinya. Bayangkan dia dalam kesakitan dengan darah berlumuran namun tiada siapa yang tahu keadaannya ketika itu.

“Tindakan pelaku sangat kejam. Kami berharap polis dapat menjalankan siasatan dan memastikan individu yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top