husna@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berbekalkan kreativiti luar biasa dan iltizam tinggi, bekas anak kapal (lead steward) yang pernah berkhidmat selama 16 tahun di awan biru kini mencipta fenomena luar biasa apabila menjadi tumpuan serta rujukan artis belon dari serata dunia.
Syed Shahrizal Syed Othman, 45, atau lebih popular disapa Abang Belon, kini bukan lagi nama asing dalam industri hiasan belon antarabangsa.
Sentuhan magisnya menerusi inovasi gubahan belon bunga (balloon flowers) digabung dengan struktur tiga dimensi dan perincian unik tersendiri bukan sahaja memikat pasaran tempatan, malah meletakkan namanya menjadi perhatian industri dan seni belon global.
Mengimbas kembali pembabitannya selepas menghentikan perniagaan kek Cake What, Syed Shahrizal mengakui keputusannya meletakkan jawatan dalam bidang penerbangan untuk ceburi industri belon sepenuhnya adalah langkah paling berani dalam hidupnya.
“Sewaktu terbang ke luar negara seperti Australia, saya lihat seni belon mereka sangat maju dan cantik. Di Malaysia ketika itu, potensinya besar, tetapi belum diterokai secara kreatif.
“Saya bertatih dari bawah, belajar mengikat belon sendiri dan ambil langkah berani dengan membuka kedai di Presint 15 Putrajaya, sehinggalah kini berjaya mencipta identiti sendiri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kehebatan karya ‘Abang Belon’ terbukti apabila beliau menjadi satu-satunya artis belon dari Asia yang dilantik dan ‘dilamar’ secara rasmi oleh jenama belon gergasi dunia antarabangsa dari Turki, Kalisan.
Bukan itu sahaja, pengeluar produk belon utama dari China turut menaja projek beliau bagi menghasilkan struktur gubahan belon bendera gergasi dan bunga matahari bersempena sambutan Merdeka akan datang.
“Rasa bangga dan berbeza sangat perasaannya apabila karya anak tempatan mendapat pengiktirafan daripada pasaran Eropah dan AS.
“Orang luar negara sendiri jadikan hasil seni saya sebagai penanda aras (benchmark) dan kalau dulu saya tengok Pinterest untuk dapatkan ilham artis belon luar.
“Kini hasil tangan saya dalam seni hiasan belon bertebaran di Pinterest dan menjadi sumber rujukan artis belon di luar,” katanya.
Antara kerja seni mendapat perhatian netizen ialah projek menghasilkan hiasan belon bunga 3D setinggi baglo dua tingkat disiapkan bersama 24 pelajarnya menggunakan 5,000 belon.
Sentuhan kreatifnya juga sering menjadi pilihan selebriti dan tokoh kenamaan mahupun organisasi korporat.
Fenomena Abang Belon tidak berhenti di situ. Bengkel dan kelas gubahan belon yang dianjurkannya secara fizikal dan dalam talian kini menjadi buruan pereka dari pelbagai pelosok dunia.
Sehingga kini, beliau sudah melatih lebih 3,000 pelajar, bukan sahaja usahawan tempatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Belia dan Sukan, tetapi juga peserta luar negara merentasi Brunei, Jakarta, Dubai, Turki hingga ke United Kingdom (UK).
“Banyak pereka belon luar negara yang tidak sempat hadir ke kelas fizikal di Dubai akan terus berhubung menerusi dalam talian.
“Malah, saya pernah mengendalikan kelas fizikal di Jakarta dan Brunei serta dalam akan datang di UK tidak lama lagi.
“Tujuannya saya mahu lahirkan lebih ramai usahawan belon berkemahiran tingi. Saya juga berharap satu hari nanti industri ini mendapat pengiktirafan rasmi menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya.
Di platform media sosial, pengaruh Abang Belon cukup luar biasa.
Menerusi akaun TikTok yang memiliki lebih 140,000 pengikut, hasil gubahan belonnya pernah tular sehingga meraih 17.9 juta apabila turut meraih tontonan peminat belon antarabangsa.
Mengulas rahsia kejayaannya menembusi pasaran global tanpa perlu bersaing harga, beliau menekankan kepentingan mempunyai identiti dan tidak meniru karya orang lain.
“Dulu saya membawa penumpang di awan biru, kini saya bangga dapat membawa nama Malaysia ‘terbang’ tinggi menerusi kemahiran sebagai artis belon dipandang dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
