Penggubalan perundangan baharu ganti AUKU perlu terbuka

PETALING JAYA: Penggubalan undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dilaksanakan secara terbuka dan melibatkan keseluruhan peringkat universiti termasuk golongan mahasiswa.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Farhan Rosli berkata, reformasi pendidikan tinggi perlu menilai semula kerangka tadbir urus universiti, autonomi institusi, kebebasan akademik serta hak dan peranan mahasiswa.

“MBM menegaskan bahawa pemansuhan AUKU tidak boleh sekadar menggantikan sebuah akta dengan undang-undang baharu yang masih mewarisi pendekatan dan semangat lama.

“Reformasi ini mesti menilai semula kerangka tadbir urus universiti, autonomi institusi, kebebasan akademik serta hak dan peranan mahasiswa.

Reformasi itu perlu membawa perubahan paradigma daripada mengawal kepada memperkasa dengan autonomi universiti, kebebasan akademik, tadbir urus yang bertanggungjawab dan suara mahasiswa sebagai teras.

Penggubalan baharu itu perlu dilaksanakan secara terbuka dan bermakna dengan melibatkan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti, pertubuhan belia, masyarakat sivil serta pakar perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Farhan berkata, libat urus tidak boleh bersifat simbolik, sebaliknya pandangan pemegang taruh perlu diberikan pertimbangan sewajarnya dalam pembentukan dasar dan perundangan.

Dalam pada itu, katanya, pemansuhan AUKU bukan sekadar hadiah kepada mahasiswa, sebaliknya lahir daripada keberanian bersuara dan perjuangan panjang merentasi generasi.

“Kejayaan reformasi ini bukan diukur pada pemansuhan sebuah akta, tetapi pada keberanian kita membina universiti yang mempercayai mahasiswa, menghormati kebebasan ilmu serta memberikan autonomi bersama tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top