am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan dua remaja berusia 14 dan 16 tahun yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di sekitar Lembah Jaya, Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata, kes pertama membabitkan remaja, Shahzan Iskandar Abdullah, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, Isnin lalu.
Katanya, remaja lelaki itu keluar kira-kira jam 9.30 malam dengan alasan mahu mengambil adik lelakinya yang pulang mengaji.
“Selepas mengambil adiknya dan pulang ke rumah, remaja itu keluar semula dan tidak pulang sehingga kini.
“Remaja itu memiliki ketinggian kira-kira 168 sentimeter (sm), berat 55 kilogram (kg) dan berkulit sawo matang,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Khairul Anuar berkata, kes kedua pula membabitkan remaja, Nur Damya Adriana Rohaizat, 16, yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Lembah Jaya Utara, semalam.
Menurutnya, ibu remaja itu yang berada di tempat kerja dimaklumkan kejadian itu oleh seorang lagi anak perempuannya bahawa Nur Damya tiada di bilik tidur kira-kira jam 1.15 tengah hari.
“Ibunya cuba menghubungi Nur Damya namun panggilan dan pesanan tidak dijawab.
“Nur Damya berketinggian kira-kira 163sm, berat 41kg dan berkulit cerah,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua remaja berkenaan tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-4289 7222.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Wan Norfazreen Wan Fauzi di talian 019-726 5122.
© New Straits Times Press (M) Bhd




