khairil.ashraf@hmetro.com.my
Putrajaya: DAP menyokong penuh cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, pemansuhan itu juga bukan setakat membabitkan AUKU semata-mata, sebaliknya semangat sama perlu dibawa melibatkan beberapa lagi reformasi yang telah dijanjikan kepada rakyat.
“Kita mohon, kita mencadangkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan setakat AUKU, semangat sama perlu kita bawa untuk beberapa lagi reformasi yang telah kita janjikan kepada rakyat Malaysia.
“AUKU satu komponen, tetapi apa yang lebih penting dalam reformasi pendidikan ialah memastikan peluang pendidikan tinggi yang sama kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum.
“Tidak ada seorang rakyat Malaysia yang patut dinafikan peluang untuk mendapat pendidikan tinggi kerana latar belakang kaum. Kita perlu menghargai setiap modal insan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pemansuhan AUKU juga telah diperjuangkan oleh parti itu sejak puluhan tahun.
Loke mendakwa, beliau juga merupakan salah seorang mangsa AUKU sebelum ini dan berada dalam ketakutan disebabkan undang-undang itu.
“Saya juga mangsa AUKU pada ketika itu. Berada dalam satu keadaan ketakutan.
“Jadi, apabila Perdana Menteri sendiri membawa cadangan nak memansuhkan AUKU, DAP akan bagi sokongan 100 peratus kepada beliau,” katanya.
Menurutnya, apa sahaja cadangan, formula atau dasar yang boleh membantu rakyat, partinya akan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Kita nak umumkan bahawa DAP akan menjadi tulang belakang kepada semua perubahan yang positif ini.
“Kita akan memberikan sokongan, tetapi yang paling penting ialah pelaksanaan dan keputusan yang tegas yang perlu dibuat oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
