Doktor wanita rugi RM558,000 ditipu pelaburan dalam talian

Dungun: Seorang doktor wanita sebuah klinik swasta di sini kerugian RM558,000 selepas terperdaya tawaran pelaburan mata wang dalam talian, awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, mangsa yang berusia 32 tahun berhubung dengan suspek menerusi Instagram selepas melihat iklan pembelajaran perdagangan dan pelaburan sebelum berurusan dengan seorang lagi suspek dikenali sebagai “Wan” melalui WhatsApp.

“Mangsa diminta membayar RM300 untuk mendapatkan video berkaitan teknik perdagangan sebelum membuat 77 transaksi ke enam akaun dari 12 Januari hingga 11 Ogos berjumlah RM558,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ab Halim berkata, mangsa yang tidak menerima sebarang pulangan pelaburan juga dikehendaki membayar ganti rugi bagi mengelak tindakan mahkamah kerana didakwa melakukan kesalahan, menyebabkan dia sedar ditipu dan membuat laporan polis.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, seorang pesara kerajaan berusia 60 tahun kerugian RM92,781 akibat diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud dalam talian selepas membuat permohonan pinjaman sebanyak RM10,000, Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki itu melihat tawaran pinjaman itu di Facebook dan berminat untuk meminjam bagi kegunaan peribadi kerana menawarkan kadar faedah rendah dan syarat pinjaman yang menarik.

“Mangsa telah menghubungi suspek melalui WhatsApp dan diminta membayar kos pengurusan. Lelaki itu membuat 86 bayaran ke 28 akaun dengan menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan dari 14 Jun hingga 13 Ogos.

“Selain itu, mangsa juga dipaksa menyerahkan butiran peribadi termasuk salinan kad pengenalan, bil utiliti, kad pencen dan akaun bank atas alasan untuk simpanan rekod,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, suspek juga mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya mangsa tidak membuat bayaran tambahan.

Mangsa membuat laporan polis pada 3.39 petang semalam.

Dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top