KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan tempoh penyelesaian kes perceraian dipercepatkan bagi mengelak ibu tunggal terus terbeban, terutama dalam mendapatkan hak dan tuntutan selepas perceraian.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, secara asasnya proses bagi kes sivil mengambil masa sekitar enam bulan, namun terdapat kes tertentu yang mengambil tempoh lebih panjang sehingga setahun.
Oleh itu katanya, KPWKM bekerjasama dengan peguam syarie dan sivil, termasuk Majlis Peguam, bagi memberi panduan serta membantu wanita mendapatkan saluran sewajarnya berhubung tuntutan di mahkamah.
“Mereka adalah rakan strategik kita. Sebab itu kita menjemput bersama peguam daripada Syariah dan juga sivil. Mereka memberi panduan dan jalan kepada peserta. Apabila perkara seperti ini berlaku, kita bekerjasama dengan Bar Council dan juga peguam Syarie untuk membantu mereka.
“Cuma mungkin dari segi keseluruhan kes yang masih tertangguh itu, kita tidak dapat menyelesaikannya sekali gus dahulu. Kita simpan data itu, Insya-ALLAH tahun depan, kita harap dapat peruntukan untuk membantu lagi ramai kerana kita memang mahu mengejar perkara seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Kasih Ibu Tunggal di sini pada Ahad.
Nancy berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan kementerian membantu golongan wanita yang berdepan masalah kebajikan, termasuk ibu tunggal yang ditinggalkan suami tanpa pekerjaan dan terpaksa membesarkan anak yang masih kecil.
Menurutnya, bantuan turut merangkumi aspek pemerkasaan ekonomi bagi membantu wanita mendapatkan sumber pendapatan dan membina semula kehidupan mereka.
“Masalah utamanya ialah tiada pekerjaan, tiada wang, dan keluarga pun kadang-kadang tidak dapat membantu kerana masing-masing ada cabaran sendiri.
“Jadi alternatif kita adalah melatih mereka dari segi undang-undang dan pemerkasaan ekonomi supaya mereka dapat mencari sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata isu keganasan rumah tangga juga terus menjadi perhatian kementerian, dengan pelbagai program advokasi dilaksanakan bagi memastikan wanita mengetahui hak serta saluran bantuan yang tersedia.
“Mangsa tidak seharusnya membiarkan diri terus menjadi mangsa, sebaliknya perlu mendapatkan bantuan dan sokongan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan sebagai seorang yang lebih berdaya tahan.
“Kementerian juga turut memberi perhatian terhadap isu gangguan seksual membabitkan wanita dan kanak-kanak, termasuk melalui Tribunal Anti Gangguan Seksual yang kini memasuki tahun kedua operasinya,” katanya.
Menurutnya lagi, peningkatan jumlah laporan tidak semestinya menunjukkan keadaan semakin buruk kerana ia juga boleh mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan mangsa untuk tampil membuat laporan.
“Kita tidak boleh menghakimi berdasarkan turun naik angka semata-mata. Mungkin angka naik kerana kesedaran meningkat dan orang sudah tahu SOP untuk melapor. Jika angka turun, ia tidak bermakna kes berkurangan, mungkin ada yang tidak mahu melapor,” katanya.
Nancy turut mengingatkan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga supaya mengetahui prosedur operasi standard (SOP), termasuk membuat laporan kepada polis dan mendapatkan rawatan di hospital yang mempunyai One Stop Crisis Center (OSCC).
Katanya, mangsa juga boleh mendapatkan bantuan melalui Talian Kasih 15999 selain khidmat kaunselor yang disediakan melalui Lembaga Kaunselor.
“Kerajaan sentiasa bersama anda. Anda perlu tahu SOP; jika berlaku keganasan, laporkan kepada polis dan pergi ke hospital kerana ada OSCC. Anda akan dibantu jika mengikut prosedur,” katanya.
