am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Tujuh lelaki warga Indonesia termasuk seorang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ ditahan dalam operasi membanteras kegiatan penyeludupan migran di tepi jalan berhampiran tapak perkhemahan Tanjung Punggai, Bayu Damai, Pengerang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi kira-kira jam 11 malam, selepas menerima maklumat berhubung kegiatan berkenaan.
“Polis berjaya menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang dipercayai hendak diseludup pulang ke negara jiran melalui laluan yang tidak diwartakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, susulan penahanan itu, pihaknya turut merampas kereta Proton X50 yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Yusof berkata, bagi kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula, pesalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, selain sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.
Katanya, semua suspek dan kenderaan berkenaan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd
