PERR perkenal Anugerah Bola Sepak Melayu

PETALING JAYA: Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 tahun ini tampil dengan beberapa pembaharuan termasuk pengenalan Anugerah Bola Sepak Melayu yang julung kali diwujudkan bagi mengiktiraf pemain dan pengurusan terbaik sepanjang kejohanan.

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, anugerah berkenaan dicadangkan oleh Yang di-Pertua Melaka yang juga penaung persatuan, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam ketika kunjungan hormat dua minggu lalu sebagai sebahagian usaha memberikan nafas baharu kepada kejohanan.

“Pada tahun ini, hasil saranan oleh Tun semasa kunjungan hormat kita dua minggu lepas, beliau mencadangkan agar kita mengadakan Anugerah Bola Sepak Melayu. Ini merupakan kali pertama anugerah seumpamanya diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena pelancaran PERR musim 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Antara kategori yang sedang dipertimbangkan ialah Penyerang Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Pengurusan Terbaik, manakala beberapa kategori lain masih dalam proses perbincangan sebelum dimuktamadkan.

Mohd Firdaus berkata, pengenalan anugerah itu mencerminkan usaha PBMM melakukan revolusi terhadap PERR supaya kejohanan berkenaan tidak lagi terikat dengan pendekatan lama, sebaliknya bergerak seiring perkembangan bola sepak semasa.

“Walaupun berstatus amatur, kita tidak boleh terus berada di takuk lama. Disebabkan peredaran zaman, kita terpaksa ikut arus perubahan dan persatuan bola sepak negeri-negeri juga perlu ikut serta,” katanya.

Kelainan lain pada edisi ke-104 ialah penyertaan pasukan jemputan dan kelab yang lebih relevan dengan perkembangan bola sepak ketika ini, selaras dengan usaha memperluaskan penyertaan selain pasukan negeri.

Menurut Mohd Firdaus, pendekatan itu penting memandangkan sebahagian pasukan negeri sudah melalui proses penswastaan, sekali gus membuka ruang kepada kelab yang aktif untuk mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

“Kita menggalakkan penyertaan kelab, tetapi kita akan pastikan kelab yang dipilih itu betul-betul terlibat aktif dalam bola sepak, berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan dan berpengalaman. Kita ada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Edisi kali ini menyaksikan 16 pasukan mengesahkan penyertaan, termasuk pasukan jemputan seperti Penang Flex, UM Damansara United dan Bomba yang turut diundang seperti kelaziman sebelum ini.

Piala Agong yang menemukan Selangor dan Kuala Lumpur diadakan pada 13 September pula dijadikan medan pembukaan musim sebelum kempen PERR bermula seminggu kemudian, dengan pemilihan venue di Sabak Bernam sebagai satu lagi kelainan untuk mendekatkan kejohanan kepada penyokong.

“Kita mahu menarik lebih ramai penyokong. Kita mahu memeriahkan Piala Agong ini seolah-olah perlawanan akhir. Berdasarkan pengalaman, sambutan akan menjadi lebih baik apabila kita membawa perlawanan ke luar daerah,” katanya.

Mohd Firdaus menjangkakan antara 5,000 hingga 7,000 penyokong boleh hadir ke venue berkenaan, berbanding jumlah sekitar 100 hingga 200 penonton jika perlawanan diadakan di Kuala Lumpur berdasarkan pengalaman terdahulu.

Dalam perkembangan sama, PBMM mengekalkan dasar terbuka terhadap penyertaan pemain bukan Melayu bagi memastikan kejohanan tidak dilihat sebagai bersifat diskriminasi, namun hanya tiga pemain bukan Melayu dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa.

“Kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah persatuan yang rasis. Tidak kisah berapa ramai pemain berbangsa India atau Cina yang mereka senaraikan dalam pasukan, tetapi yang dibenarkan bermain serentak hanyalah tiga orang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) bersama MySports sebagai satu lagi langkah penting bagi memperkukuh kedudukan PERR, khususnya dalam aspek penajaan dan sokongan kepada pasukan negeri yang berdepan kekangan kewangan.

“Bila dapat banyak penajaan, kita juga boleh membantu pasukan negeri. Kita tahu semua negeri ada kekangan kewangan untuk menyertai PERR. Jadi sudah tiba masanya, dengan adanya rakan strategik dan kolaborasi ini, kita dapat membantu pasukan-pasukan negeri ini,” katanya.

Jelas beliau, keseluruhan pembaharuan berkenaan membuktikan PBMM mahu menjadikan PERR bukan sekadar kejohanan bola sepak amatur, tetapi platform yang lebih kompetitif, inklusif dan dekat dengan penyokong dalam menghadapi era baharu.-UTUSAN

Scroll to Top