Aduhai, kalau benar apa yang sedang diperkatakan mengenai rumah tangga seorang selebriti popular ini, Cik Bunga pun naik simpati dibuatnya.
Sudahlah hati diduga dengan kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga, kini timbul pula cerita kononnya si isteri didakwa diugut supaya tidak membocorkan kisah suaminya yang dikatakan sudah berkahwin dua.
Lebih memilukan, menurut khabar yang Cik Bunga terima, si isteri dikatakan diugut dengan soal hak penjagaan anak sekiranya dia berani membuka mulut mengenai perkahwinan kedua berkenaan.
Selama ini, ramai melihat pasangan ini sebagai antara yang cukup serasi. Ke mana sahaja, nampak bagai merpati sejoli. Gembira bersama dan sesekali berkongsi momen bahagia sehingga membuatkan ramai percaya rumah tangga mereka baik-baik sahaja.
Tetapi itulah, siapa tahu cerita di sebalik tabir? Apa yang dipamerkan kepada khalayak tidak semestinya menggambarkan keseluruhan kehidupan seseorang. Ada pasangan yang nampak begitu bahagia di hadapan kamera, tetapi mungkin menyimpan seribu satu cerita yang tidak diketahui sesiapa.
Dan kalau benar si isteri sudah diduakan, wajarkah pula dia berdepan tekanan supaya terus berdiam diri?
Cik Bunga juga tertanya-tanya mengenai wanita yang dikatakan menjadi isteri baharu itu. Benarkah dia mahu mengambil alih tempat sebagai ‘nombor satu’ dalam hidup lelaki berkenaan? Atau mungkin kisah sebenarnya jauh berbeza daripada apa yang sedang digembar-gemburkan?
Cik Bunga rasa, dalam keadaan begini, tidak perlulah kita cepat-cepat mencari siapa yang salah atau siapa yang patut disalahkan. Yang lebih penting adalah kebenaran. Kalau benar lelaki berkenaan sudah mendirikan rumah tangga kedua, biarlah dia sendiri menjelaskan perkara itu dengan matang. Begitu juga jika dakwaan mengenai ugutan terhadap si isteri tidak benar, tampilkan penjelasan supaya segala spekulasi dapat dihentikan.
Cik Bunga cuma berharap, apa pun yang berlaku di sebalik pintu rumah tangga mereka, soal kebajikan anak jangan sesekali dijadikan bahan tawar-menawar. Ini kerana dalam kemelut orang dewasa, anaklah yang paling mudah menjadi mangsa.
