KUALA LUMPUR: Pencapaian Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerima Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencerminkan disiplin dan ketabahan tinggi yang wajar dibanggakan oleh seluruh rakyat Pahang.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar kehormatan peribadi, malah turut memberi imej positif kepada pembangunan ketenteraan negara, sekali gus menyampaikan mesej keberanian menghadapi cabaran khususnya terhadap golongan muda.
“Tengku Mahkota bukan sahaja bergelar putera mahkota, malah turut terjun sendiri dalam kerjaya ketenteraan, bermula daripada Pasukan Khas Udara (PASKAU) sehinggalah menjadi juruterbang helikopter. Perjalanan ini bukanlah mudah dan memerlukan ketahanan serta fokus yang tinggi. Baginda membuktikan bahawa kerabat diraja turut mampu berusaha gigih dan cemerlang dalam bidang profesional,” katanya.
Tengku Hassanal mencatat sejarah sebagai kerabat diraja pertama yang menjalani dan menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di Kolej Tentera Udara (KTU).
Baginda merupakan antara 40 peserta yang menamatkan latihan dan menerima Sayap Penerbangan TUDM, yang dikurniakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merangkap Kolonel Yang Dipertua TUDM, pada Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan 2026 di Padang Kawad KTU, semalam.
Dalam pada itu, Juara Polo Kebangsaan, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman turut mengucapkan tahniah kepada Tengku Mahkota.

Katanya, sebagai atlet yang lama mewakili negara, beliau memahami bahawa untuk cemerlang dalam latihan berintensiti tinggi memerlukan ketabahan dan fokus yang tinggi, dan kejayaan baginda melepasi kursus penerbangan yang ketat dengan cemerlang amat memberi inspirasi.
“Sama ada di gelanggang sukan mahupun dalam ujian latihan penerbangan, semangat mengejar kecemerlangan adalah sama sahaja. Baginda membuktikan bahawa kerabat diraja turut mampu berusaha gigih dalam bidang profesional, dan sikap memimpin melalui teladan sebegini wajar dicontohi oleh semua atlet yang berjuang demi negara,” katanya.-UTUSAN
