Gelsenkirchen: Real Madrid menamatkan aksi persahabatan terakhir mereka dengan kemenangan 3-0 ke atas Schalke, awal pagi tadi, dalam perlawanan yang menyaksikan Kylian Mbappe mencetak gol manakala pemain termahal kelab, Yan Diomande, membuat penampilan sulung.
Selepas dua musim tanpa trofi utama, Real Madrid melantik Jose Mourinho untuk kembali mengendalikan pasukan buat kali kedua selain melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad dengan beberapa pembelian baharu pada musim panas ini.
Mbappe yang pertama kali beraksi di bawah kendalian Mourinho membuka tirai jaringan pada minit keenam selepas memintas hantaran lemah pemain pertahanan Schalke sebelum melepaskan rembatan untuk meletakkan juara Eropah 15 kali itu di depan.
Dean Huijsen kemudian menggandakan kelebihan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Arda Guler ketika Madrid semakin menguasai permainan.
Pemain gantian, Carlos Espi melengkapkan kemenangan Madrid dengan tandukan pada babak kedua sebelum Diomande, pemain sayap Ivory Coast yang dibeli dengan nilai rekod 140 juta euro (RM729 juta), dan pemain England, Jude Bellingham turut dimasukkan dari bangku simpanan.
Penampilan itu menjadi aksi pertama Diomande bersama kelab barunya selepas perpindahan berprofil tinggi berkenaan.
Dalam satu lagi aksi persahabatan, juara Sepanyol, Barcelona mencatat kemenangan menarik 5-2 ke atas Basel yang menyaksikan pemain baharu Anthony Gordon membuat penampilan pertama sejak menyertai kelab itu dari Newcastle.
Pemain baharu Barcelona, Karim Adeyemi membuka jaringan selepas menerima umpanan Raphinha, namun pemain muda Basel, Jean Doucoure menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.
Penyerang Mesir, Hamza Abdelkarim kembali meletakkan Barcelona di depan pada awal babak kedua selepas menerima hantaran daripada Adeyemi.
Lamine Yamal yang membuat penampilan pertama sejak membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia kemudian menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga Barcelona selepas Jules Kounde dikasari dalam kotak penalti.
Kazeem Olaigbe merapatkan jurang menerusi sepakan penalti buat Basel sebelum pemain gantian Barcelona, Jesse Bisiwu, yang menyertai kelab itu dari Club Brugge, mencuri tumpuan dengan menjaringkan dua gol dalam penampilan lewat yang bertenaga.
Barcelona masih mempunyai satu lagi aksi persahabatan di laman sendiri menentang Al Ahly pada Rabu ini sebelum memulakan kempen La Liga bertandang ke Elche pada 23 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd

