puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi, Aisha Retno, tidak dapat menahan sebak selepas mempersembahkan lagu Tak Adil di pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40).
Menurut Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, tangisannya itu disifatkan sebagai satu kelegaan apabila berjaya merealisasikan persembahan yang sangat berat demi adiknya, Sayed Abu Hanifa Radityo.
“Saya sebenarnya menangis dengan kelegaan. Mungkin ada yang tanya kenapa saya menangis.
“Sebenarnya sebab ‘piece’ ini sangat berat. Saya ada penari, ada hiasan pentas yang kuat, ada band dan saya bawa adik saya.
“Jadi, tangisan itulah tangisan kelegaan saya sebab tengok adik menangis. Kami membesar bersama-sama dan memang tidak terfikir kami akan menjejakkan kaki ke Anugerah Juara Lagu bersama-sama,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Aisha yang bergelar Naib Juara AJL40 berkata, segala pengorbanan untuk menjayakan lagu Tak Adil dilakukan khas buat adiknya.
“Saya melakukan semua ini hanya untuk adik saya, jadi itulah definisi tangisan yang terjadi. Sudah tentu kita ada tujuan apabila beranikan diri ke anugerah ini dan kami melakukan apa yang terbaik, tetapi apa yang terjadi kita serahkan kepada juri.
“Saya sangat bangga dan terima kasih kepada juri yang sudi menilai lagu ini dari segi komposisi dan sebagainya. Akhirnya, kami boleh meraih naib juara sekali lagi dan saya sangat gembira,” katanya.
Sementara itu, pelantun lagu Samudera ini tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan perjuangannya dalam edisi akan datang.
“Ini memberi suntikan semangat kepada saya. Insya Allah kalau ada rezeki tahun depan, saya akan cuba sertai lagi.
“Mungkin bukan saya yang menyanyi, tetapi mungkin lagu orang lain yang saya nukilkan. Terima kasih AJL kerana memberi suntikan semangat untuk saya menulis dan menulis lagi, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Terdahulu, lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I ciptaan Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala lirik ditulis oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam dinobatkan sebagai Juara AJL40 sekali gus membawa pulang teori serta wang tunai RM100,000.
Kedua Aisha Retno menerusi Tak Adil melayakkannya menerima trofi serta RM50,000 manakala ketiga Reynauld Guntabid menerusi lagu Lumangad Oku Dika yang meraih RM30,000 serta trofi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

